suara bisu....

bila lagu ni kerap kali aku putarkan
terasa jauh jasad ni melayang dibawa kenangan
bertemankan suara hati yang kian buntu...
memikirkan di mana sebenarnya kenangan yang makin membisu
aku jadi lemah...
sendu bicaraku kembali bertaut
menambahkan rasa yang kian duka...

aku tahu hadirnya aku bukanlah untuk merawat luka
adanya aku hanya menambahkan sengsara
tapi aku ingin kau tahu...
terciptanya aku sekadar yang termampu
tidak terdaya rasanya jasad sekerdil ini membahagiakanmu
tidak termampu senyuman ku ini mengubati rasa luka di hatimu...

aku adalah aku,
yang hanya mampu menciptakan kenangan
antara suka mahupun duka...
nyata kini aku sendiri dalam ketandusan rasa
rasa yang semakin membenamkan aku dalam putaran waktu
waktu yang jua turut menghilangkan aku dalam perasaan...

bila sendiri aku jadi sunyi...
dalam keriuhan rasa...
dalam sendu bicara...
akhirnya aku tetap begini
tanpa jawapan yang pasti
di mana sebenarnya hati aku...

tersembunyi rasa yang kian tandus
membenamkan segala kenangan
memungkinkan segala keputusan
maafkan aku yang masih begini...
lepaskan airmata itu...

Nyalakan sebatang lilin, dalam sebuah bilik yang sepi, lepaskan rasa yang terbuku… jangan ada yang memerhati kerana itu syaratnya untuk menangis tanpa perlu berfikir! Waktu ini, hanya kedengaran suara hati berlawanan dengan suara akal. Saling bertingkah demi menegakkan prinsip masing-masing. Hatikah yang bakal memenanginya? Ataukah akal bisa menewaskan hati dengan hujahnya? Siapa yang menjadi si penentu pemenang antara dua itu? Bisa ditabalkankah pemenangnya saat itu juga?

Jika dibawa pandangan mata pada gelap bilik yang tak tersimbah cahaya, pasti gambaran itu terlalu jauh perginya. Menerobos hingga entah ke mana destinasi terakhirnya. Akan adakah jawapan atau ayat pemujuk dalam renungan pada sebuah kegelapan?

Jika dibawa pandangan mata pada kilauan cahaya si lilin yang semakin mencair demi berusaha untuk menerangi kesuraman, pasti gambaran itu seakan memacu ke arah suatu tujuan pasti. Bahangnya bisa memberi semangat di saat-saat kelesuan mencari kekuatan. Akan adakah jawapan atau ayat pemujuk dalam renungan pada sebuah kecerahan?

Jawapan yang dicari bergantung pada pilihan yang diyakini. Perlukah ditepuk dada untuk bertanya selera?

Tapi, adakalanya jawapan tidak diharap-harapkan lagi. Kerana segalanya telah terjawab. Maka dibiarkan saja keadaan itu berlalu… kembali melepas rasa yang terbuku… rasa terbuku hasil daripada sebuah jawapan yang telah merubah berbagai perkara. Perkara yang dahulunya tak ingin diubah. Tapi, itulah hakikat pada sebuah takdir… di saat ini, ayat pemujuk adalah, redhailah segalanya…

Menangislah hingga tiada airmata lagi yang ingin dicurahkan… kerana selepas itu, jangan lagi menangis atas sebab yang sama…

*sering saja menangis sendirian...
tersentuh...

"tersentuh oleh geraklaku dan tuturkata..."

apa maksud ayat aku tu? senang je maksudnya, ada perbuatan dan perkataan yang telah membuatkan aku rasa "pelik" hingga dunia aku seolah-olah begitu hening, sunyi dan terhenti seketika. nampaknya aku menerangkan ayat tu dalam bahasa yang begitu berbunga-bungakan? mulanya rasa mudah untuk menjelaskan, tapi, bila dah mula menaip ni, begitu banyak perkataan yang muncul di fikiran hingga berebut-rebut untuk dikeluarkan! hebatkan otak manusia ni? boleh memproses perkataan beribu kali ganda daripada kekuatan teknologi komputer terkini.

kadang-kadang aku mudah tersentuh oleh perbuatan atau kata-kata seseorang, terutama yang dilakukan oleh orang yang aku sayangi. kalau nak tahu aku tersentuh atau tidak, senang je... tengok muka aku cemana..

memula... aku akan memandang tepat kat mata orang tu... dengan mata aku yang lebih kurangnya tak bergerak-gerak bagaikan terkujat gitu! nape aku begitu? sebab aku bagaikan terpana seketika dengan perbuatan/perkataan dia. itu dari segi fizikalnya...

kalau ditanya dalam hati aku sendiri, bilakala aku tersentuh oleh perbuatan/perkataan dia, aku hanya ada satu jawapan.... sensasi perasaan yang hebat...! dan sensasi itu bisa menghentikan darah aku untuk seketika. dunia aku akan terasa tiada bunyi-bunyian. otak aku akan terasa kosong tanpa ada perkataan atau gambaran. perghh! hebatkan?

apa yang menyebabkan aku tersentuh? hmmm... bergantung pada di mana aku letakkan perasaan aku waktu itu... yang mana, aku sendiri sukar untuk meramalkannya. apa yang aku tahu, bila sudah tersentuh, semua rasa bisa bersatu... terharu, gembira, sedih, atau apa saja rasa yang wujud bisa digaul secara rata saat itu!

err... kenapa aku menaip bait-bait kata sebegini saat ini? adakah hati aku baru saja tersentuh oleh perbuatan/perkataan seseorang? hmmm... sejujurnya, ya...! dan aku ingin sangat memeluk dirinya saat ini... dengan satu harapan, ingin dirinya tahu yang aku menyayanginya seikhlasku...

~menyayangimu lebih dari yang kau tahu...~
punya hati...


Namun Ku Punya Hati (Revolvers)

Senyumku tak seghairah
Gerak gaya tidak selincah
Mataku tak seayu
Kicau burung pun tak semerdu

Namun ku punya hati
Juga gayaku perasaan
Hidupku yang begini
Kadar waktu diizin Tuhan

Tidak ku minta
Lahir ke dunia
Tidak ku duga
Cacat begini

Bukan kuminta
Kasih dan manja
Bukan ku rayu bantu simpati

Maafkan wahai teman
Ku menumpang di sudut dunia
Mencari ketenangan
Sampai masa ku pergi jua...

**********************************************************

Ada sesuatu pada lagu ni yang menyentuh hati aku. Bagai ternampak diri aku dalam lagu tuh… cumanya, aku tak cacat anggota, tu je. Sebenarnya lagu ni mampu buat airmata aku menitis. Tersedar yang rupanya diri ini serba kekurangan, tersedar yang diri ini hanya menumpang di sudut dunia… tapi yang pasti, aku masih punya hati.

Mungkin pendapat aku dan kau, jauh bezanya. Mungkin cara aku dan kau, juga jauh bezanya. Tapi ada satu perkara yang menyamakan kita… kita manusia dari jenis yang sama… dan punya hati yang sama merahnya… hormatilah sesama kita biarpun apa jenis “benang” yang ingin ditegakkan oleh diri masing-masing.

Moga kita tergolong dalam manusia yang punya rasa hormat yang tinggi… salam kedamaian dari aku.

Juga, kepada semua atlit istimewa (OKU), pamerkan kehebatan yang sebenar! Aku bangga dan terharu menyaksikan “kekuatan” yang ada dalam diri kalian… all the best sempena minggu FESPIC ’06 ini. ;)
hati...

kerana seseorang yang kita sayangi, kita bisa berkorban sedayanya walauapa jua. berkorban masa, harta, perasaan dan adakalanya hingga ke tahap nyawa! atas dasar apa pengorbanan itu sebenarnya? cinta? penghormatan? kepercayaan? balasan? tuntutan? tanggungjawab? kadang-kadang, tiada sebab... boleh ke begitu?

apa yang diberi, bakal dibalas. untuk sebuah pengorbanan, akan adakah sebuah balasan yang dituntut? atau sekurang-kurangnya impian bakal terpenuhi? mengharap sesuatu bisa diberikan sebagai ganti sebuah pengorbanan? boleh ke begitu?

kalau untuk upacara korban seekor lembu, misalannya, lembu itu tentunya dipilih daripada jenis yang terbaik, yang tiada cacatnya, yang telah terpelihara dengan elok dan terhindar daripada sebarang penyakit. untuk sebuah pengorbanan yang datangnya daripada sekeping hati yang merah, tentulah dipohon agar ianya suci, ikhlas, redha, dan yang perlunya juga... bebas daripada niat mengharapkan balasan... betulkah begitu?

tapi, kalau difikir-fikirkan lagi, mustahil juga manusia ini hidup tanpa mengharapkan "sesuatu" diberi kembali. kerana manusia sudah terbiasa dengan adat sesuatu kerja perlu ada upah. sesuatu yang diberi, perlu dipulangkan atau diganti-balik. sesuatu yang dikerjakan, perlu ada ganjaran. sejauh mana harapan mengharapkan balasan itu, hanya dapat ditentukan oleh hati yang merah. di sini, biarlah kita andaikan hati itu cuma sewarna sahaja, iaitu merah. usah diandaikan hati yang gelap dan hati yang putih lagi. lalu, akhirnya persoalan masih timbul, sesuatu pengorbanan itu, bolehkah betul-betul diiktikadkan dalam hati bahawa ianya sebenar-benar pengorbanan? bolehkah?

akhirnya, bila aku menung-menungkan kembali, benarlah kata-kata yang diungkapkan ini...
"akan baiklah seluruhnya bilamana seketul daging itu turut baik, dan seketul daging itu adalah hati."

jawapan pada ikhlasnya sebuah pengorbanan hanya dipunyai oleh seketul daging merah yang merahnya tiada ternoda, yang merahnya tiada tercela. dan kerana itu juga, ia tersimpan jauh dalam diri batang tubuh itu tanpa dapat dilihat, dinilai atau dipersoalkan oleh orang lain yang bukan pemiliknya. berbahagialah pada yang memiliki hati semerah itu...

********************************************************

pada adik yang aku kasihi, cepatlah sembuh ya. aku rindukan dirimu di sini. rindu ingin mengusikmu seperti selalu. rindu ingin dicubit manja oleh jari halusmu. rindu ingin dijeling seperti ibu yang memarahi anaknya yang nakal. dan bosannya aku bila tidak mendengar suaramu menghilai tawa...

jaga dirimu baik-baik ya. rajin-rajin makan ubat, dan rehatlah secukupnya. insyaallah aku nantikan dirimu di sini seperti selalu... ;-)


terima kasih, kerana sudi melayan rinduku hari ini dan maafkan aku yang mengganggu lenamu sebentar tadi... tidurlah semula, adik ku... opps! jangan lupa, senyum dulu... :)
kenangan...

Kenangan tak perlu masa berhari-hari untuk tercipta. Biarpun sedetik cuma, tapi andai ianya bermakna, sudah bisa dijadikan sebagai antara kenangan yang setia terpahat dalam ingatan. Tapi, adakalanya, aku tak pernah menyangka suatu peristiwa yang biasa-biasa sahaja, bisa turut membuatkan aku terkenang-kenang dan akhirnya termasuk dalam kategori kenangan yang tak luput dari ingatan… hebat, kan?!

Kenangan bisa membahagiakan andai diingat-ingatkan… dan kenangan juga bisa memaksa sendu tangis terhambur andai diingat-ingatkan. Kenangan bisa membuat aku terketawa terbahak-bahak hingga berairmata… dan kenangan juga bisa membuat aku terhiba sendirian hingga berairmata. Yang pasti, kenangan itu adalah “sesuatu” yang bisa menghidupkan dan juga melemahkan… hebat, kan?!

Ada orang kata, jangan hidup dalam kenangan kerana takkan pergi kemana-mana. Asyik memikirkan yang lepas-lepas hingga yang bakal mendatang sering tertinggal untuk difikir-fikirkan. Jangan menoleh lagi ke belakang, kerana yang telah berlalu adalah sejarah yang harus diteladani seumur hidup. Itu kata sesetengah orang. Ada orang lain pula kata, aku hidup dalam kenangan. Bagaimana pula tu?

Kenangan boleh tercetus di fikiran antara sengaja atau tidak. Kadang-kadang sengaja untuk mengingati tentang sesuatu itu, atas berbagai sebab juga. Contohnya merindui suatu saat yang pernah dilalui. Adakala pula, kenangan itu hadir tidak sengaja bila sesuatu terjadi. Contohnya peristiwa itu berlaku waktu hujan lebat turun, dan aku akan terkenang pada sesuatu yang pernah dilalui dalam keadaan begitu… hebat, kan?!

Mencipta kenangan, mengingati kenangan, merindui kenangan, adalah semuanya lumrah kehidupan. Kenangan manis, kenangan pahit, apa pun sahaja kategorinya, yang pasti, ia suatu kenangan yang menceritakan siapa aku dahulu… dan juga yang menjadikan siapa aku hari ini dan esok.

Gelak tawa semalam, merupakan airmata aku hari ini. Apakah aku akan turut mendapat yang sebaliknya nanti…? Aku hanya akan tahu, bila esok bakal menjadi kenangan yang bisa aku ingat-ingatkan. Persoalannya, masih milik aku kah esok yang aku tunggu-tunggu itu? Moga esok menjadi kenangan terindah buat aku, kau, dirinya, dan kita semua…

~ Salam terindah daripada aku… yang menyayangimu selamanya…
timpalah aku, wahai hujan... aku rela...

dan mawar merah itu terus ditimpa hujan... hanyut...

jangan kembangkan lagi kelopak mu, wahai mawar...
kerana tiada siapa bakal mengaguminya...
tak beshnyerr... :(
Entah apa angin yang melanda, entah apa arus yang menghanyut, tiba-tiba aku rasa bagai terpinggir… tidak dipedulikan… tidak diendahkan… sorang-soranglah ko bercakap! Perghhh!!

Bagai ada jiwa yang sedang kemarahan, bagai ada jiwa yang sedang memendam rasa, tapi tak ingin diluahkan. Bukan setakat seribu pertanyaan yang bermain dalam kepala nih, tapi dah lebih berjuta-juta soalan yang terkarang dalam kepala otak aku ni.

Hmm… takpelah… mungkin ada sesuatu yang di luar pengetahuan aku sedang berlaku. Dan mungkin juga aku tak perlu tahu apa sebenarnya yang terjadi…

Apapun, rasa ini sungguh tak sanggup aku lalui… wahai mentari, jangan biarkan mendung itu berterusan…
selamat hari lahir, juita...

Saat ini, aku tak tahu diri mu di mana… juga aku tak tahu apa yang sedang kau lalui waktu ini. Aku tetap di sini. Masih di tempat yang kau tahu di mana diamnya aku dan di mana lenanya aku.

Aku hanya doakan yang terbaik untuk mu. Hanya tuhan yang tahu apa yang aku pendamkan…

Jaga dirimu sebaik mungkin, ta… kerana ramai yang menyayangimu. Dari kejauhan ini, aku cuma dapat merenung pada garisan awan, mengharap yang kau ada di sana, sejahtera selalu.

Selamat ulangtahun kelahiranmu, ta…

~masih yang dulu~
biarkan berlalu...

Biarkan Berlalu (Wings)

Bila bersemadi warna cinta
Pudarlah segalanya
Tiada mentari lagi
Yang mengiringi perjalanan

Mestikah bersedih
Pada hakikat
Dikurniakan padamu
Bukankah cita-citamu
Memperjudikan kasih sayang

( korus )
Kita mampu merancang
Hanya Tuhan menentukan
Tak perlu dikisahkan

Janganlah memburu
Angin yang berlalu
Kelak kau terima
Jawapan yang kecundang
Pulang saja di mana
Permulaan langkahmu
Biar saja angin itu terus berlalu

**********************************************************

seperti kata seorang teman, cinta punya "kuasa"nya... kerana "kuasa" itu, kita bisa jadi insan yang paling hampa, dan kita juga bisa jadi insan yang paling gembira...

akhirnya aku akur... ada cinta yang lebih agung... yang memungkinkan segalanya...

kata-kata orang yang telah tewaskah ini...? tidak... aku cuma ingin bernafas semula...

terima kasih sahabat... kekasih...
~menyayangimu lebih dari yang kau tahu...
ada rasa yang terbuku...

Ada rasa nak marah, ada rasa kecewa, ada rasa sedih, ada rasa terkilan dan entah apa rasa lagi yang sedang menguasai. Saat ini, aku hanya terfikir satu… sebatang carikan-carikan tembakau harum yang berbalut kertas putih. Ya, aku tahu, itu bukan penyelesai masalah. Ya, aku tahu, itu bukan jalan keluar yang seharusnya aku ambil. Tapi, saat ini, bakaran tembakau itu bisa membantu aku…

Aku ingin berdiam diri… mungkin itu lebih baik. Cerita aku, siapa aku, hanya aku yang menyimpan dan mengetahuinya. Tersilap langkah rupanya aku dalam menilai sesetengah orang. Ada yang bisa berkongsi rahsia, namun ada yang tak mampu menyimpannya. Ya, aku faham… ada berbagai sebab yang menjelaskan perbuatan itu. Tapi, aku bisa memaafkan atas dasar, rahsia itu bukan lagi rahsia tatkala dari saat aku meluahkannya lagi.

Dari kejauhan ini, aku sering merenung susuk tubuh itu…dengan lebih tepat lagi, aku menatap wajahnya dalam diam aku yang sepi. Aku tanyakan pada diri aku sendiri, “apa yang kau ingin darinya, zaff?” lama sekali soalan itu berlegar tanpa jawapan. Dan akhirnya airmata kesunyian ini mengisi ruang jawapan yang bagi aku, bukanlah jawapan yang betul lagi pasti. Ada hakikat yang perlu aku redhai. Ada realiti yang harus aku lalui. Dan aku tertunduk dalam gelap…

Mungkin ada eloknya aku kekal menjadi pengembara yang tiada berteman… hidupnya aku demi melihat orang lain bahagia, kerana atas bahagia itulah aku bisa bahagia juga… dan matinya aku demi melihat orang lain lebih tenang dalam kisah suram yang aku tinggalkan.

Maafkan aku, si pengembara compang-camping…

********************************************************

ada rasa istimewa yang aku simpan untuknya
ada rasa rindu yang ingin aku kongsi bersamanya
tapi,
rasa itu biarlah aku kekalkan dalam diri ini
rasa itu biarlah aku abadikan dalam jasad ini
kerna,
aku takut andai ia terbuang
aku takut andai ia terpinggir

suatu waktu, ya aku pernah memilikinya
suatu saat, ya aku pernah menaklukinya
tapi,
itu hanyalah suatu hari dulu
yang aku tak punyai lagi untuk hari ini dan esok…
ngomel sendirian...

ada airmata yang ingin tertumpah
tapi dapat diseka...
ada hati yang terasa sayu
tapi dapat dibendung...
biar sukar untuk dilafazkan
biar sakit untuk dinyatakan
harus ditelan sendiri
harus dikumam senyap

di waktu diri tegap gagah
di waktu itu juga ada ribut cuba menggoyah
di saat diri tersungkur parah
di saat itu juga ada banjir rakus menghanyut
lantas bila
dapat dihirup nafas bahagia?

pelangi itu terlalu jauh
biar cuba dijejak
biar cuba dikejar
akhirnya ia hilang
kerna waktu terbitnya
hanya sementara
hanya sekejapan...
jadi perlukah diharap hadirnya mendung lagi?

pada si empuk tilam,
diadukan sakitnya hati yang tersayat...
pada si lembut bantal,
diadukan pedihnya hati yang dijeruk...
dan pada si hangat gebar,
diadukan sunyinya hati yang ditinggalkan...

***********************************************************

biarkan diri terus dibasahi hujan semahunya... takpelah... kalau itu mampu meredakannya... aku letih, penat, kelelahan... sengaja aku meredah hujan, sengaja aku meranduk kesejukan yang tiada ampunnya. ada sesusuk tubuh menghiasi fikiran... yang sedang menguasai waras aku, yang sedang menguji jiwa aku. biar aku kegigilan oleh kesejukan hujan, daripada aku kegigilan menahan gelora di hati...

***********************************************************

Demi Waktu (Ungu)

Aku yang tak pernah bisa lupakan dirinya
Yang kini hadir diantara kita
Namun ku juga takkan bisa menepis bayangmu
Yang selama ini temani hidupku

Maafkan aku menduakan cintamu
Berat rasa hatiku tinggalkan dirinya
Dan demi waktu yang bergulir di sampingmu
Maafkanlah diriku sepenuh hatimu
Seandainya bila ku bisa memilih

Kalau saja waktu itu ku tak jumpa dirinya
Mungkin semua tak kan seperti ini
Dirimu dan dirinya kini ada di hatiku
Membawa aku dalam kehancuran

~ lagu ini buat aku termenung jauh...
keindahan...

Keindahan – O2

Layang-layang yang terputus talinya
Terbang entah ke mana
Sendiri mencari arah
Hidupku yang tak pasti
Cahaya atau gelap

Aku seharusnya berpijak di bumi yang nyata
Sedangkan aku masih dibuai mimpi yg ngeri
Bagaimana harus ku lakukan (oh..) sendiri

Tolonglah aku yang kesepian ini
Menyusuri jalan yang panjang
Penuh ceritanya
Hanya masa dan waktu
Merubah segalanya
Menjadi nyata

Oh tuhan
Terangilah diri ini
Agar dapat ku lalui
Jalan kekusutan
Dengan keindahan

*********************************************************

ada perubahan yang sedang aku lalui waktu ini. mulanya aku takut untuk menerima suatu kenyataan yang sering dimomokkan. aku takut pada suatu "kehilangan". aku risau bakal "kesunyian". sudah terasa sakit teramat melalui zaman keseorangan. gelap... hambar...

entah apa kekuatan yang ada waktu ini, yang memaksa aku menerima keadaan dirinya. memaksa aku meredhai akan ketentuan Ilahi. memaksa aku percaya semula pada qadha dan qadar-Nya.

dan hasilnya, aku semakin tenang... biarpun dunia aku masih berwarna merah. ada tekad yang sedang aku bina. ada keazaman yang sedang aku pupukkan. semuanya kerana aku sudah letih. bagai musafir yang ingin mencari perhentian terakhirnya. terasa benar beban yang digalas semakin tak mampu untuk dipikul. terasa benar bagai senja sudah dekat benar menghampiri malam...

aku menyayanginya dalam keadaan aku merelakan dirinya yang kini. aku akan tetap mengasihinya dan aku akan tetap menamakannya sebagai "kekasih", biarpun dia tak mungkin aku miliki...

~ menyayangimu lebih dari yang kau tahu...
kiranya kau tahu...

terdampar rasa hati...
bila tersedar rasa itu mula menguasai diri
apa sebenarnya yang aku inginkan?
terlalu dahagakah aku dengan harapan...
terlalu egoiskah aku dengan perasaan...
sedarkan aku sepantasnya
kerana aku tak bisa lagi bertahan

dalam gurauan nakal...
dalam sendu bicara..
seolah menggambarkan rasa yang terpendam
dalam persis di awangan
dengan rasa ingin tahu
membawa aku sedalamnya dengan emosi
lemahnya aku....

dalam keadaan apakah aku ini..?
aku tak pernah bisa menjauhkan segala rasa
aku tak pernah cuba untuk meleraikan sengketa
sengketa yang mula beraja di hati aku
mungkin akan memusnahkan segala rasa cinta...
menghancurkan segala rasa percaya...
maafkan aku...
aku tak mampu menghalangnya
walau seribu daya aku curahkan buatnya..

terhenti ukiran pena
buat aku berfikir di mana sebenarnya kemahuan hati aku
nyata segalanya dalam kehancuran
kiranya aku masih di sini..
terus-terusan mengikut rasa hati ini...
aku tak akan merelakannya
tak akan sekali-kali memusnahkannya
kerana hati ini bisa menakluki jiwa...
kerana aku masih percaya ada ruang bagiku...
bertakhta terus sebagai kuasanya

mungkin ada yang bertanya...
siapa aku ini?!
dengan mudah meluahkan segala rasa
dengan rela merungkaikan segala kata
biarlah diri ini menjadi tanda tanya
satu ketika aku sendiri akan pergi
dengan rela...
kerana aku cuma hadir untuk sementara...
aku... mula meroyan.. hehe
dunia nih adakalanya terlalu besar dirasakan. adakalanya jugak, terlalu kecil dan sempit. lagi jauh kita mengembara atas dunia nih, lagi ramai insan atau manusia yang bakal kita temui dan kenali. biar berbagai rupa, biar berbagai kelakuan, tapi, tentunya kita akan tetap mengingati pada yang sorang tu saja. ataupun mungkin, ada beberapa susuk tubuh yang sentiasa menjadi ingatan abadi dalam hidup kita.

ada yang kata,
"cinta hanya sekali hadirnya dalam hidup..."
"sayang takkan sama tumpahnya pada setiap insan..."
"rindu bukan mudah mencari penawarnya..."

pada satu tahap, bila kita memiliki segala-galanya dalam sesuatu perhubungan, sememangnya hidup amat nikmat sekali dilalui. cinta yang tulus, sayang yang ikhlas, rindu yang berbunga, diberikan pada seseorang yang amat bermakna dalam hidup kita. tapi, bila saat kita kehilangan segala-galanya atau sebahagian daripadanya, sememangnya hidup terasa hambar, sepi, suram.

pada satu tahap yang lain pula, bila kita tahu kita telah tidak punya harapan lagi untuk memiliki apa-apa cinta, hanya satu semangat yang bisa mengembalikan seri dunia ini... iaitu untuk belajar untuk redha pada segalanya. mungkin sukar sekali untuk memiliki cinta dari hati seorang manusia, tapi tidaklah terlalu perit untuk menagih cinta Ilahi, yang pastinya tiada sesiapa dapat mempertikaikan akan kesuciannya.

aku mungkin kelihatan kecewa pada zahirnya. aku juga mungkin kelihatan sudah berputus harap pada realitinya. dan aku mungkin kelihatan sudah menemui jalan penghujung pada sebuah destinasi cinta. tapi, percayalah, sebenarnya hidup aku baru bermula... ingin belajar bertatih kembali... ingin belajar bercakap kembali... ingin belajar menghargai sesuatu yang bernilai.

aku masih aku, si perindu si pencinta si pengasih... dan si tembam yang giginya rongak sebatang! ahakss.. hahahahahaha!

~ padamu kekasih, aku tak pernah buang sayang yang ada nih... menyayangimu lebih dari yang kau tahu...