Salam Aidilfitri...


Taqabbalallahu minna waminkum.. taqabbal ya kareem.

semoga masih belum terlambat aku menyampaikan ucapan ini untuk sahabat2 semua biarpun telah berada di hujung Syawal. doa dipanjatkan, harapan diungkapkan... semoga Ramadhan yang telah berlalu, mampu melatih diri kita menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

berbicara tentang Aidilfitri, pasti tak lepas daripada mengenang kembali memori indah yang dilalui. tak kiralah andai memori baru mahupun yang telah bertahun2 kita alami. ya. selagi kita manusia yang waras, selagi itulah kita bermain dengan kenangan. yang manis, yang pahit, silih berganti di tayang kembali di layar minda. namun, yang manis, kadang2 dikenang kembali bersama linangan airmata... yang pahit pula, adakalanya mengundang senyum simpul... pelik, kan? :)

dan seringkali pula, memori raya pasti punya seseorang di dalam kisah itu. insan tersayang, insan dirindukan, walau siapa pun insan itu, pasti seseorang yang bermakna di waktu itu kepada kita. ibu, ayah, datuk, nenek, saudara kandung, sahabat, kekasih atau pasangan hidup. andai rindu masih bertandang di hati di tika ini, kirimlah sepotong doa dan bait2 surah Al-Fatihah untuk mereka. tak kiralah samada mereka masih di sisi mahupun telah pergi. dan rasanya, itulah yang sebaik2nya...

sayangilah mereka yang masih bersama di sekeliling kita hari ini. entah esok lusa kita bakal kehilangan mereka ataupun mungkin sampai waktunya kita meninggalkan mereka. andai ada yang terguris, rawatlah luka itu. andai ada yang tercalar, ubatilah. sebaik2 ubat adalah dengan memaafkan. sebaik2 maaf adalah dengan meredhakan. semoga Allah menjadikan aku, kau dan kita semua sebagai seorang yang pemaaf dan hidup dengan penuh kasih sayang. Insya Allah...

salam kemaafan daripada aku yang terlalu banyak kesilapannya.
salam ramadhan al-mubarak...


assalamua'laikum wbt. frenos semua. semoga sihat dan bahagia hendaknya. ya, entry pertama di tahun ini... :)  sekian lama menyepikan diri. mematikan ketukan jari di keyboard. sesungguhnya Allah jua lah yang menggerakkan keinginan aku untuk memulakan kembali menyampaikan kisah yang sarat dengan berbagai rasa di layar merah ini. macam dulu2. hahaha...

bukannya tak teringat nak menulis, cuma kematian ilham dan ketiadaan inspirasi dalam diri. melalui hari2 bagai robot tanpa roh. haishh... dahsyat tu! blackout dalam otak ni terlalu lama. :P ni baru nak bertatih semula... tercari2 lilin untuk menyalakan kotak ilham.

dan malam yang pertama ini, biarlah permulaannya sekadar ini sahaja. mukadimah aku yang mula mencari jalan pulang. jua menuntun tangan sahabat2 yang ingin bersama menemani... :)
setelah bertahun...


salam frenos...!

bertahun sudah kita tak bersua di dada merah ini kan. bertahun sudah aku tinggalkan lembaran merah hitam ini. mujurlah tak nampak sawangnya. tapi sebenarnya terasa sungguh kesepiannya.

eh, apa khabar frenos semua. ada yang sihat, tak kurang juga yang sedang 'menikmati' hari sakitnya. sihat dan sakit itu semuanya kurniaan Allah. menguji kita. tanda sabar dan syukur. menyuburkan rasa kehambaan dalam diri kita. aku? alhamdulillah... sihat seeloknya... :)

syukur juga kepada Allah kerana menggerakkan kembali tubuh badan aku untuk menitipkan kata-kata kembali di sini. setelah aku renung-renungkan, ahh... takpelah, apa salahnya menulis semula di sini. tapi mungkin kali ini, cerita-cerita aku bakal berbeza. ye lah... sementelah usia pun semakin menjejak 40. pandangan semakin berbeza. harapan semakin tampak rasionalnya. ya, harap-harap. :)

rindu. hehehe. rindu untuk menulis. menulis rasa yang dirasai setiap hari. atau mungkin rasa yang pernah dirasai suatu hari yang pernah dilalui dahulu. ya. rindu menuturkan bicara yang tak mampu dituturkan oleh bibir ini tapi mampu dizahirkan oleh jemari yang kontot dan gemuk ini. hehehe. :p

semoga Allah memberi hidayah-Nya kepada diri aku dan kita semua agar hidup ini tak tersia-sia. InsyaAllah.

oklah frenos, setakat ini dahulu awal kalam aku setelah bertahun menyepikan diri dalam kebisingan hidup yang sering melekakan. jaga diri bebaik ya! ;)

adios amigoss.
aku, upsr dan bas... :)


salam frenos...! :)

haihh... dah keluar keputusan peperiksaan upsr kan. tengok kat berita tadi, ramailah adik-adik yang melompat girang, tentunya sangat cemerlang. tak kurang juga yang bermata merah dan berpeluk-pelukan dengan teman-teman atau ibunya sendiri, mungkin turut cemerlang juga ataupun sebenarnya mengharap pujukan atas suatu kekecewaan...

seperti biasa, tiba-tiba terlintas imbasan semula hari di mana keputusan upsr aku diumumkan dahulu... kira-kira lebih 20 tahun yang lalu. wahhh... lama kan? :)

aku masih ingat lagi, waktu tu, bila diumumkan dalam berita tentang tarikh keputusan upsr akan dikeluarkan, maka berdetap-detuplah jantung menanti saat dan ketika untuk pergi mengambilnya. aku tak mengharapkan mak untuk membawa aku ke sekolah sebab aku percaya, aku mampu pergi sendiri tanpa perlu diteman mak. cewahh! lagipun, kesian kat mak, sebab tak mahu mengganggu dia berniaga. sebenarnya, aku sendiri pun cuak juga nak pergi sendiri. almaklumlah, bukannya berjalan kaki ataupun naik basikal, tapi pergi dengan menaiki bas awam. perghhh! terasa macam ala-ala pengembara waktu tu! hahahaha walaupun sebenarnya perjalanan menaiki bas awam itu memakan masa lebih kurang 10 - 20 minit sahaja. :D

tabiat buruk aku bila naik bas ialah aku terlalu leka dengan pemandangan luar sehingga kadang-kadang terlepas perhentian yang sepatutnya. hehehe. mak kata, aku suka berangan. jadi, bila aku beranikan diri nak pergi sorang diri ke sekolah, panjanglah bebelan mak pada aku. ayat-ayat peringatan dikeluarkan. ingin memastikan anaknya ini hafal perkara-perkara yang boleh dan tak boleh dibuat. hahahaha... sabar je la kan.

jadi, akhirnya aku berjaya juga naik bas hari tu. dengan semangat waja, dengan debaran hebat dalam dada, loceng di dinding bas yang agak tinggi hingga aku terpaksa panjat ke kerusinya untuk ditekan, berbunyi nyaring tepat pada 'landmark' yang telah mak aku ingatkan supaya ditekan bila melepasinya. hehehehe. selamat aku sampai ke sekolah.

dan, aku rasa sangat bangga hari tu. berbunga-bunga dalam hati. macam macho gila rasanya! hahaha.

hari itu, menjadi antara hari yang amat bermakna dalam hidup aku. aku berjaya mengatasi kerisauan aku untuk berdikari sendiri menaiki bas awam seorang diri, dan turut berjaya dalam peperiksaan upsr aku juga. satu hari tu senyum aku tak sudah-sudah. ohhh, terasa diri semakin dewasa juga. :) hehehe.

yang seronoknya naik bas awam tu, bila melihat gelagat konduktor bas mengetip dengan pantasnya tiket yang berwarna-warni. setiap warna mewakili harga yang berbeza-beza. dan pada kepingan tiket tu pula, dicetak dengan banyak nombor. mewakili tarikh dan masa. aku suka belek-belek tiket aku dan kemudian lipat kecil-kecil. tapi, aku tak lah sampai menyelitkan pula pada celah-celah besi kerusi seperti yang dibuat segelintir orang, sebabnya, mak dah pesan tiket kena jaga elok-elok. nanti ada inspektor bas datang periksa, kalau hilang, kita akan disuruhnya turun dari bas dan terpaksalah naik bas yang lain. hehehehe... tak lepas aku pegang tiket tu tau! :p

habis imbasan kisah aku naik bas di hari keputusan upsr dikeluarkan, rupanya airmata aku mengalir laaa.... haiyyaa. sedikit emosional pula aku bila bercerita pada cik kekasih hati tadi. haihh! dan dia cuma senyum memerhati... :p

agaknya, aku rindu kot nak naik bas! hahahaha. nantilah, bila-bila datang 'gila' aku tu, naiklah. apapun, frenos semua, jangan lupa hargai diri korang ye. jaga diri bebaik k.

adioss amigosss!! ;)
mula kembali...



salam frenos...! :)

apa khabar kamu sekalian? lama sungguh aku 'menjauhkan' diri dari dunia merah ini. hidup dengan sehidup-hidupnya di dunia nyata yang setiap masa menuntut bahu ini menanggung beban demi kelangsungan hidup. nah, saat ini aku ingin menjenguk sebentar ke dunia merah ini. meluah rasa, berkongsi cerita. mengisi masa kalian, di kala melayari dunia tanpa sempadan.

hmmm... akhir-akhir ini, dunia blog bagai sepi, kan? mungkin kerana ledakan penangan laman-laman sosial yang menguasai minat orang ramai dalam dunia cyber kala ini. blog sangat berbeza dengan laman-laman sosial ini, terutama dari segi interaksi dan pengisiannya. kalau direnung-renungkan, manusia ini sebenarnya sangat-sangat memerlukan 'kawan'! hehehe... dan suka berborak juga...! :D

aku rasa, dunia cyber ini hanyalah satu cabang dari usaha-usaha seseorang untuk melepaskan sementara dirinya daripada realiti kehidupan yang kadang-kadang agak menekan atau menyesakkan. lagi tertekan seseorang itu, lagi lama masa yang diluangkan dalam dunia cyber ini agaknya... oh, tidak terkecuali aku juga! ;)

tapi, kadang-kadang, ada orang tu, ingin menjadi 'orang lain' dalam dunia ini. mencipta satu personaliti baru, gaya baru, yang sangat-sangatlah berbeza dengan diri realitinya. kenapa? macam-macam 'niat'... mungkin nak baiki dirinya, mungkin nak memperdaya, mungkin nak menyakiti orang lain, atau sebenarnya, ingin mencipta imej sempurna yang selama ini diidam-idamkan untuk dirinya sendiri. terpulanglah kan...

aku tak pasti sampai bila dunia cyber ini akan berakhir... mungkinkah akan ada 'dunia' baru pula selepas daripada ini? yang pastinya, masih tak terjangkau dek akal, tak terlintas dek fikiran. harap-harap lebih banyak kebaikan bakal tercipta, bukannya kemusnahan dan kerosakan yang melanda.

perghh!! macam ucapan sempena sesi pengucapan awam untuk kursus induksi pulak kan? hahahaha... gasaklah! menulis apa yang ada di minda sekarang ini. tanpa menghadkan apa yang sepatutnya ditaip. biarlah. kerana terlampau rindu dengan dunia merah ini.

hmmm... nanti-nantilah, mungkin esok lusa bakal keluar sesuatu yang puitis, sesuatu yang membelai-belai, sesuatu yang menyimpul senyum kecil, sesuatu yang sinis, atau mungkin sesuatu yang penuh semangat meluap... :)

sampai sini dulu frenos semua. jaga diri sebaik-baiknya ya. jangan sampai aku kehilangan kamu nanti, kerana perkataan-perkataan ini pastinya kurang bermakna tanpa ada yang sudi membacanya.

adiosss amigoss! ;)
sedekahkan senyum itu...


masa aku kecik-kecik dulu, bila berjalan kaki dengan mak, mak selalu senyum dengan sesiapa saja terutama perempuan. aku sangka mak aku kenal orang tu, rupanya tidak. bila aku dah pandai menyoal, aku tanya mak kenapa dia terlalu murah dengan senyuman?

mak kata, "senyum tu ubat paling hebat. senyum juga makanan paling enak. kenapa nak kedekut? tuhan dah bagi peluang kat kita nak sedekah cara mudah. tak mau ke?"

masa tu, aku hanya mencongak dalam kepala, kalau tak senyum bermakna sombong, dan kalau selalu senyum bermakna pemurah. itu je.

tapi hari ini, aku mula faham. patutlah mak suka senyum. patutlah mak tak lokek bagi senyuman. bila aku tenung-tenung mak, aku nampak kesannya.

1... muka mak masih tegang biarpun sudah melebihi 60 tahun. itu secara fizikalnya. tak perlu perawatan muka yang hebat-hebat. sekadar senyum saja modalnya... :)

2... mak tenang berdepan musibah. ye, airmata mak memang mengalir, tapi tiada sesalan yang bertakung. malah, semangatnya sukar dilangkau. mungkin dengan tersenyum, buat mak tenang.

3... mak punya kenalan yang ramai. dan kebanyakannya terjalin daripada senyuman di awal perkenalan.

4... rezeki mak murah! dan selalunya tak dijangka-jangka.

ini yang aku nampaklah buat masa ni.

yang pastinya, bukanlah suatu ungkapan sia-sia bila "senyum itu suatu sedekah" kan? tapi, berapa ramai antara kita yang lebih suka memuncungkan bibir, malas untuk senyum? aku pun kadang-kadang lokek gak untuk senyum. bukan apa, pernah kecewa bila senyum tidak berbalas. hehehe... :P opss! memasuki 'zon tidak ikhlas' sudah!

moga aku lebih banyak tersenyum selepas ini... :) dan tidak mengharapkan balasan senyuman kembali...

jaga diri bebaik frenos! :D
tiba-tiba... 2011
salam frenos!

tetiba je aku muncul kembali. bila tetiba tersedar sudah memasuki gerbang 2011. terus terbangun dari pembaringan, lantas menaip entri ini. semoga sahabat-sahabat semua masih bisa bangun dari pembaringan dengan sihat, cergas dan bertenaga.

hari ini tiba-tiba juga, aku teringin untuk menulis blog baru pula. sekadar mencari kelainan. namun, blog merah ini masih aku kekalkan kerana perkisahan di sini terlalu mengesan di jiwa nurani. masih tercari-cari ilham kasar untuk menulis di blog baru. nantilah, mungkin dalam masa terdekat ini, muncullah ia. ;)

setakat ini dahulu ye, mahu sambung berbaring semula. jaga diri dengan sebaiknya ye! adios amigoss!
kerana...




saya sungguh tidak suka bila ditinggalkan keseorangan di rumah. fikiran mula menerawang ke berbagai-bagai 'simpang'. kelakukan mula tidak seperti sediakala. mulut terkunci. badan terkaku.

agak bingung bila berada dalam situasi begitu. yang peliknya, dalam fikiran ada macam-macam idea, tapi, jasad seolah-olah tak mahu melaksanakan misi-misi yang difikirkan. bagaikan ada ketidakstabilan di situ...

saya selalunya akan menutup kesemua lampu di rumah sebelum masuk tidur. tapi, bila saya keseorangan, saya rela lampu putih menyinari ruang rumah. saya terasa ditinggalkan bila berada dalam kegelapan yang sebegitu!

ohh... semua ini kerana cik kekasih hati pulang beraya di kampung dan terpaksa meninggalkan saya sementara di sini! perghhh!! sakit jiwa ok... :p

sewaktu menghantar cik kekasih di balai berlepas KLIA, saya rasa senyum saya dibawa bersama-sama dirinya. biarpun serombongan pramugari MAS sedang meliuk-liuk lalu di hadapan saya selepas itu, saya kehilangan pesona untuk melekatkan pandangan gatal saya pada bayang-bayang mereka. tiada tarikan di situ.

tetapi, bila tibanya hari untuk saya menjemput cik kekasih di balai ketibaan, saya memandu sambil tersenyum, tersengih, biarpun di waktu itu saya sedang menempuh kesesakan lalulintas di kota tempat saya bekerja. saya tidak marahkan pengguna jalanraya yang memotong saya dan memasuki lorong tanpa memberi isyarat. sebaliknya, saya hanya berkata, "ok, ok, takpa".

dan segalanya kembali seperti biasa sekarang... :) semangat saya sudah terbit semula. tubuh saya telah seiring dengan rasa, fikiran dan jiwa...

cik kekasih tidak perlu buat sesuatu yang hebat. cukup sekadar ada di sisi saya. menikam jantung saya dengan pandangannya. mematikan bicara saya dengan tuturnya dan meledakkan tawa saya dengan keletahnya.

dan,
kerana memanggil saya, "sayang"...
saya nak tulis ni khas untuk awak... :)


awak,

alhamdulillah, kita masih bersama lagi sehingga ke saat saya menaip ayat ini. saya tak peduli orang nak kata kita baru ka, lama ka, yang penting, setiap hari adalah berbeza. setiap hari saya menambah pengalaman sendiri. setiap hari saya akan belajar sesuatu yang baru, samada tentang awak mahupun tentang saya. samada tentang sesuatu yang menggembirakan mahupun yang memilukan.

kita dua-dua pemalu. tapi sebenarnya kita dua-dua selamba dan buat hal sendiri je. kita dua-dua pemerhati. tapi sebenarnya kita dua-dua kaki bising dan becok. kita dua-dua tak suka jalan kaki jauh-jauh sangat, sebab sakit kaki, tapi sebenarnya kita amatlah suka jalan-jalan makan angin sambil memuji indahnya alam yang sedang dinikmati.

awak,

kadang-kadang saya rasa diri saya macam kanak-kanak yang amat nakal dan ngengada bila tiba masanya. kadang-kadang pula, saya rasa diri saya macam 'top chef' perasan yang suka tanya awak "sedap tak bau ni?" sewaktu buat awak terbersin berkali-kali bila masakkan sesuatu di dapur comel kita tu. tapi, sebenarnya, saya rasa diri saya amat bernilai, bagai loket emas yang awak sayangi tu, bila awak pandang saya dengan 'tikaman mata sakti awak tu, yang sering buat saya ter-offside-lane bila memandu.

awak,

kita lalui bersama saat indah, suka, duka, sempit dan cemas selama ini dengan sabar dan keyakinan penuh. saya harap, saya akan terus menjadi seorang kekasih yang selayaknya untuk awak. terima kasih, sudi memegang tangan saya hingga ke saat ini... terima kasih, kerana tidak jemu menjadi penguat semangat saya biarpun saya sedang kehilangan perkataan untuk memujuk diri sendiri.

moga kehidupan yang bahagia adalah hadiah yang terbaik untuk awak. dan semoga dalam hidup yang bahagia itu, saya bisa menjadi sebahagian daripadanya...


menyayangimu setulusnya,
zaf...
airmata syawal...



yer, bila tibanya syawal, tibalah juga musim tengkujuh aku. katalah aku apa saja. lembik, cengeng atau pelakon airmata. sememangnya aku akan teramat sensitif. sifat yang nampaknya agak susah untuk aku kurangkan biarpun usia semakin meningkat dan pengalaman semakin mendewasakan.

bermula daripada mengucup tangan kedut ibu dan memeluk tubuh tuanya di pagi syawal, telah membuka 'pintu empangan' airmata aku. seterusnya 'membawa bekal' untuk ayah yang tempat diamnya nun jauh di alam yang berbeza, memberatkan lagi kesayuan yang sedia ada menebal di hati. dan hiba aku makin bertambah bila melihat ibu masih mengalirkan airmata yang sama seperti di awal pemergian ayah dahulu. kasih ibu masih terpancar. sayang ibu masih tersirna. dan biarpun masih terasa embunan 1 syawal, ada kehangatan doa dari seorang kekasih buat kekasih yang dirinduinya sedang bergema...

dan tentunya banyaklah drama, filem, telefilem, dokumentari atau rencana khas yang bersangkutan dengan 'semangat' syawal. bukalah siaran mana saja, samada yang percuma mahupun yang berbayar, pasti ada. yang boleh buat aku ketawa besar, aku akan ketawa. tapi, kalau yang buat aku cengeng kembali, habislahh... :p dan yang paling akan men-spoil-kan lagi keadaan, kalau aku 'tertonton' siaran kisah anak-anak kecil yang kekurangan kasih sayang keluarga dan hidup serba kekurangan... ohh, sangatlah akan menyebabkan aku kelihatan amat 'naif'! hahahaha (sadis!)

apapun, syawal adalah bulan yang sungguh menginsafkan buat aku. memberi peluang kepada aku untuk merenung kembali kepada kehidupan lalu, sekarang dan yang bakal aku tempuh. memang bukan sedikit airmata yang 'terkorban', tapi bagai suatu kepuasan untuk melepaskan sesuatu yang terpendam...

kadang-kadang kita perlukan suatu alasan lain semata-mata ingin melepaskan sesuatu yang tersimpan di hati... dan aku perlukan airmata untuk melakukan tugasan itu. mungkin aku kelihatan menangis kerana seorang budak lelaki di sebuah yayasan anak yatim yang sedang menceritakan kerinduannya untuk beraya bersama ibu di kampung, tapi realitinya, aku sedang melepaskan suatu rasa yang sedang terbuku di hati...

sekali lagi, aku bersyukur, masih lagi berpeluang menyambut syawal bersama keluarga, kekasih, sahabat, dan kalian yang membaca perkisahan aku ini... moga kita dilanjutkan usia untuk bersama lagi di syawal akan datang...

salam dihulur, maaf dipinta... :)
"siapa aku" di syawal ini...



salam frenos!!

owh... salam aidilfitri daripada aku dan lya...! ye. ye. aku tahu, lambat sangat baru nak bersalam-salam raya kan. hehehe... ampunkan diriku wahai sahabat. sekian lama menanti ilham dan semangat untuk menaip perkisahan semula, baru di dingin pagi ini aku mendapat 'kekuatan'! perghh! sungguh dramatik! dan korang perlu tahu juga, semangat menaip ini aku perolehi sambil menonton "America's Next Top Model"... hahaha (gila!)

menonton 'perkisahan' model-model yang mengejar status terbaik antara yang terpilih, ada sesuatu yang mengesankan pada aku. tentang prinsip. bagaimana mendisiplinkan diri untuk terus berpegang dan yakin terus-terusan dengannya. tetapi, sebelum menetapkan sesuatu prinsip dalam hidup kita, yang paling utamanya, sudah tentu untuk mengenali diri sendiri terlebih dahulu! tak guna sekiranya tidak mengenali diri sendiri.

andai masih tak ketemu jua siapa diri kita sebenarnya, maka mulalah kita bermain dengan topeng-topeng yang berwarna-warni. berusaha untuk memadankannya dengan diri kita setiap masa, tetapi masih tidak serasi. hinggalah suatu masa, mungkin topeng yang ke-11, ke-51, atau ke-1001 yang benar-benar menonjolkan siapa kita sebenarnya.

tapi, apapun, untuk menampakkan diri kita yang sebenar bukanlah semudah menanggalkan topeng yang ada... selagi kita masih tak ketemu jawapan "siapa aku", selagi itulah ada topeng yang sedang melekap di wajah sebenar kita... dan selagi persoalan itu tidak berjawab, hiduplah kita dengan prinsip yang kadang-kadang mudah untuk digoyahkan. dan akhirnya, yakin pada diri itu semakin menipis dan merapuh...

moga kita sama-sama terus 'kuat' selepas ini.

salam kemaafan di syawal ini...
sentap dek rabun...

salam frenos...! :)

moga sihat sejahtera aman bahagia sentiasa. kalau ada yang sedang bergering, harap kembali segar-bugar ye! jangan malas-malas makan ubat. namun, bagi sahabat yang sedang berduka, aku doakan agar tuhan akan merahmati hidup kalian sentiasa... sabarlah menempuh segalanya...

tiba-tiba terlintas di fikiran untuk berbicara tentang kenikmatan yang kita kecapi saban hari...iaitu tentang pancaindera kita. bukan alang kepalangnya andai salah satu pancaindera kita diuji oleh tuhan. salah satu, adalah indera penglihatan. amat mahal sekali nilainya hingga tiada nilai yang bisa diletakkan padanya sebagai ukuran.

aku bukan seorang yang rabun, tapi, dek kerana suatu sebab yang menyebabkan aku terpaksa 'dirabunkan' sementara, maka aku dapat rasai pengalaman menjadi seorang yang tersangat rabun dan kabur selama lebih kurang 6 jam. hmmm... agak terseksa sekali.

awalnya aku tak perasan pun kesannya disebabkan aku mengantuk dan terlelap sebentar. tapi lama-lama baru tersedar, tapak tangan sendiri pun aku tak dapat nak cam. tak puas hati, aku cuba lihat ke skrin handphone, wah! langsung tak nampak apa pun perkataannya, malah imej background pun tak boleh nak dikenalpasti... perghhh! panik sekejap! tapi, penjelasan daripada 'adik manis' yang ada di situ telahpun meredakan ke-panik-an aku akhirnya... hehehe =D

berada dalam 'kekaburan' sememangnya menguji minda dan hati aku. bagaimana indera yang ada ini amat terbatas dan teramat memerlukan bantuan daripada orang lain. itupun mujur masih dapat melihat biarpun hilang kejelasan. syukur... kerana duniaku masih belum gelap gelita... terasa insaf bila mengenangkan insan-insan yang diberi dugaan berat ke atas indera yang satu ini. moga tuhan permudahkan hidup mereka sentiasa...

oh, gambar di atas bukanlah imej mata aku. sekadar berkongsi keadaan rupa mata aku yang hampir menyerupai gambar ini. jangan risau ye frenos... :) tidaklah seteruk gambar ni sangat...

oklah, terpaksa direhatkan dulu tulisan aku hingga di sini. insyaallah, bakal disambung lagi nanti... =) jaga diri kamu baik-baik ye...

adios frenos!
nafas, senyum, ayat dan luka...
nafas itu ada harganya
janganlah mudah disia-sia
andai terputus termati nanti
usah dicari penebus untuk mengganti

sebuah senyum dan sebaris ayat
dihulur bersadur kasih yang dipahat
bukan hendak dipuja menjadi hebat
semoga diharap menjadi pengubat

peritnya luka akibat nista
usah diagak bisanya tidak bersisa
itulah nasib perlu diterima
sedialah diri kuat selamanya


=D
Fantasi Cinta (Khafi)

Dulu kita angankan cinta sehebat kisah lagenda
Aku laksamana engkau puteri di gunung kita bersemadi
Kau aku cinta itulah kata terakhir buat diriku
Jiwa gelisah kita terpisah akan aku tebus dirimu

Korus:
Cinta kita berdua memang tiada penghalangnya
Sekukuh tembok batu pasti juga kan runtuh ku rempuh
Cinta kita berdua seluas langit tanpa hujungnya
Takkan tercari semua terletak di hati

Mereka bilang cinta kan hilang sebelum kau temu yang baru
Jika itu benar tak terciptalah puisi ini untuk dirimu
Kau pejam mata fantasi cinta guna mata ketigamu
Aku pimpinmu terbang ke sana tuju istana rahsia

Hulurkan tanganmu jika kau terjatuh
Ku di sini untukmu
Kau bersedialah untuk menerima
Cinta yang takkan luntur
happy birthday to me... =)




selamat ulangtahun kelahiran yang ke 33 wahai si zorro yang tembam! -hahahaha-

tahun ini agak istimewa 'pengisian' hari jadi aku. berbagai peristiwa, bermacam lagak dan ragam orang, yang aku lalui dan alami. semuanya buat aku berfikir dan bermenung kembali mengenali diri sendiri. yang istimewa, akan terus ditakhtakan di hati. yang meruntun jiwa, akan menjadi pengajaran supaya tidak diulangi lagi.

kepada kekasih, sahabat, kawan, adik, kakak, insan yang disayangi dan juga yang pernah menjadi pujaan aku suatu waktu dahulu, terima kasih atas segala ucapan dan doa yang disampaikan kepada aku mahupun sekadar tercetus di dalam hati kalian. sangatlah aku menghargainya... =) moga doa kita sama-sama dimakbulkan tuhan.

harapan aku, semoga tuhan memberikan aku peluang untuk mengecapi kejayaan yang aku idamkan dan mampu membahagiakan orang-orang di sekeliling aku. tiada lagi yang aku impikan selain mendapat kebahagiaan di dunia selagi umur masih berbaki dan kesejahteraan di akhirat bila terhenti segala rezeki.

terima kasih sekali lagi, atas ucapan-ucapan yang menyemarakkan semangat mahupun yang mengharukan hati kecil yang mudah tersentuh ini...

~lya: hadiah istimewa itu ada pada awak...~
hujan petang tadi...
salam frenos...!

perghhh!! petang tadi hujan turun lagi. ingatkan sempatlah reda dan berhenti sebelum waktu kerja habis, tapi berterusan menumpah diri menyejukkan bumi. seperti biasa, aku masih seperti dulu-dulu. suka menempuh hujan. suka meredah lebat air dingin. tapi, kalau dah sampai tahap ribut tu, tak beranilah juga... :)

jadi, sewaktu jalan disibukkan oleh deretan kereta-kereta, sempatlah fikiran menerawang. dan banyaklah masa untuk melilau melihat sekeliling. dalam kelekaan aku sedang meneleng-neleng kepala ke sebelah kanan tingkap, tetiba... GEDEBANGG!!!

ayakkkk!! ada motosikal sudah terjatuh kat sebelah kereta aku! terperosok kat tayar kereta avanza kaler hijau yang dipandu oleh seorang gadis berlesenkan 'P'. cuak juga aku mulanya. akukah yang melanggar dia? eh, takkanlah... aiyyooo...

avanza tu kelihatannya macam panik, dan tak berhenti dengan cepat. maka, si penunggang pun kelihatan macam kena gilis dek tayar dia. pemandu tu panik gamaknya! aiiyyoooooo.. aku, apa lagi. teruslah berhentikan kereta agak ke depan sedikit. cuba beri laluan untuk melihat keadaan dengan lebih jelas.

perghhh!! alhamdulillah larr... sipi-sipi saja. tak sempat digelek dek tayar avanza. rupanya penunggang motor tu hilang kawalan. takde sesapa pun yang melanggar dia. yelah, jalan licin. pastu macam menuruni bukit sedikit. mungkin tayar motor dia pun dah kurang 'bunga', tu yang kurang cengkaman gamaknya.

dan penunggang motor itu serta pemboncengnya, tak mengalami sebarang kecederaan serius...

habis kejadian itu, aku teruskan pemanduan. tapi, dalam kepala ni bermain pula persoalan lain. chewahhh hehehe. disebabkan kes motor yang terjatuh sebelah kereta aku tadi, aku terus mengaitkannya dengan kehidupan. waaa... hehe

kenapa motor tu terjatuh? hilang kawalan kan. sebab apa? sebab jalan licin. sebab tayar motor dia dah haus, bunganya dah menipis. kalau tayar tu masih tebal bunganya, tentu lebih mencengkam. dan dia juga mungkin kurang risiko untuk hilang kawalan dan terbabas.

kesimpulan yang aku dapat fikirkan waktu itu, hidup ini sememangnya perlukan halangan. halangan itu sebenarnya punya banyak hikmah tersembunyi. untuk mencapai sesuatu, tiada jalan mudah yang terbentang untuk kita. mungkin kita ditakdirkan untuk senang melepasi sesuatu halangan ataupun mungkin tiada halangan langsung. tapi, sedarkah kita, kita mungkin bakal tersungkur di kemudian hari kelak?

ujian yang terpaksa kita lalui bukanlah ditakdirkan tanpa ada tujuannya. sepatutnya kita bersyukur. bersyukur kerana kita diberi masa untuk 'berhenti seketika' bagi merenung kembali usaha yang kita curahkan. mungkin juga 'berehat sebentar' bagi mendapatkan sokongan demi menguatkan semula semangat yang seakan luntur. hebat kan? sungguh besar rahsia sesuatu ujian itu.

dan selepas aku habis membuat kesimpulan, aku senyum sorang-sorang. tentu ada hikmah juga jem yang berjam-jam ini... hehehe... :) sabar je la! ahaks :P

kepada semua, mehlah kita sama-sama sabarkan diri. berdoa. moga kita terus tabah menempuh ujian saban waktu. janganlah menyalahkan sesiapa kerana segala-galanya punya rahsia tersendiri mengapa sesuatu itu terjadi. tiada sesuatu itu diciptakan tanpa sebab musababnya. rahsia itu hanyalah milik-Nya.

jaga diri bebaik ye frenos...! :D
jangan...
jangan menangis
wahai tubuh si kedek-kedek
simpanlah airmata itu
mungkin di suatu hari
yang sememangnya lebih berharga
lagi bermakna
untuk dicurahkan

jangan ditangisi
wahai tubuh si kedek-kedek
tiada apa yang hilang
tiada apa yang kurang
kerna sememangnya kasih ini
ikhlas dan tersendiri
hanya buatmu

jangan ada tangis lagi
wahai tubuh si kedek-kedek
hapuslah segala duka
dihias warna-warni sang cinta
yang cahayanya gemilang berkilau
dibawa sang arjuna
untuk menemanimu
di sisi selalu
hati mula tenang...
salam frenos... :)

tiba-tiba jari aku mula mengetuk kekunci keyboard ini semula. yeahh, mulalah kerinduan untuk menulis kembali memekar. nak tahu kenapa? sebab hari ni hujan lebat! hahahaha... macam pelik, kan? tak tau la pada orang lain. aku beginilah. bila hujan, waktu itulah juga ilham menulis mencurah. terlahir daripada hati, terpancar daripada sanubari. tapi kadang-kadang, tak perlu menunggu hujan di langit turun, cukup juga bila ada sesuatu yang bisa mengundang mendung di hati, maka tak berhentilah 'hujan' yang turun dan ilham yang membuak-buak.

ok, ok... tinggalkanlah dulu soal hujan-hujan ni. ada masa nanti, bakal aku sambung lagi bercerita tentang hujan dalam hidup aku. :)

alhamdulillah, berminggu-minggu sebelum ini yang sungguh membebankan aku, berjaya dilepasi dengan berjayanya. berkat kesabaran, doa, sokongan dan pujukan, maka berdaya juga aku laluinya.

kes aku yang hendak dinikahkan dengan seorang pemuda akhirnya menemui jalan noktah! ye.. ye.. sudah tutup cerita! di suatu petang, aku nyatakan kepada mak yang aku tak dapat terima dia. aku sampaikan pada mak betapa aku terasa bagai tidak diambil endah langsung sewaktu hari makan-makan yang diadakan sengaja untuk mengenalkan dia pada aku. dahlah aku korbankan rasa dalam hati aku ni, semata-mata untuk memenuhi kehendak mak, alih-alih si mamat tu buat tak tau jer bila aku dah ada di depan mata. oh, sungguh tidak reti mengurat langsung! kesimpulannya, aku katakan pada mak, "mamat tu pengecutlah mak! sepatah haram pun dia tak cakap apa-apa. nak kene tepuk dahi dulu ka baru tau ngurat?" dan mak hanya tergelak besar dengar aku bebel-bebel di petang hari itu... hehehe

akhirnya mak akui, mamat tu memang kurang sesuai dengan aku. mak juga tak begitu menyenangi perangai mamat tu yang tak reti nak berbudi-bahasa. 'kurang ajar' lebih sesuai perkataanya. rupanya famili angkat mamat tu yang terlebih-lebih nak jodohkan kami. kalau korang nak tau, diorang plan nak nikahkan kami sebelum raya tahun ni! gila! jangan harap!

jadi, kembalilah hati ini menjadi tenang. mujurlah kekasih hati tetap setia bersama aku mengharungi saat-saat yang sememangnya meletakkan aku dalam keadaan serba salah. terima kasih, sayang. terima kasih yang amat sangat...
sikit je... ;)
hati aku dah senang sikit sekarang ni... hehehe =D

nanti aku cite ye. sekarang tengah sibuk menyiapkan tugasan. biasalah bos aku, suka nak menyusahkan aku! hahahaha... :P

owh, sekarang ni musim penyakit demam dan seangkatan dengannya sedang melanda. bagi adik2 dan frenos yang sedang mengalaminya, aku doakan kalian cepat sembuh. sila makan ubat mengikut masa dan sukatan yang dah ditetapkan. yang penting, jangan tunggu dah melarat baru nak pergi klinik k!

adios frenos! jaga diri bebaik ;)
berharap, mengharap dan harapan...




salam frenos...!

percaya atau tidak, yer... aku sedang dalam pemerhatian keluarga aku untuk dinikahkan! dengan sapa, dengan seorang lelaki yang aku memang tak kenal langsung dan tak pernah tahupun siapa namanya bahkan rupanya.

arghhh...! aku ingatkan perkara ni tidaklah sedrastik mana, rupa-rupanya silap dugaan aku. mak angkat budak lelaki tu siap berbunyi nak satukan kami berdua penghujung tahun ni! gila pe! aku hairan jugak kenapa mak aku boleh ikutkan je. takde pulak dia tanya aku.

dulu mak kata, "kita makan-makan kat luar. pastu nanti zaf tengoklah orangnya. kenal-kenal dulu. kalau ok, boleh jalankan".

tapi, lepas malam yang makan-makan itu, macam lainnnn je rancangannya. aku tak pasti sejauh mana. tapi aku tetap akan tunggu untuk mengadap mak aku tanpa ada orang lain. sehingga waktu ini, mak tak kata apa-apa dengan aku. samada aku suka ke, tak suka ke, dia nak nikahkan jugak ka, atau apa ka.

haishhh...! tindakan mak betul-betul mendebarkan aku. dan aku sangat-sangat berharap supaya mak tidak akan meletakkan aku di kedudukan 'serba-salah'. ye, aku tak mahu jadi anak derhaka. malah aku juga tak mahu menzalimi diri aku dan budak lelaki tu. dan paling aku takut, hati mak boleh terguris nanti...

hmmm... tentunya tuhan ada jawapan untuk aku. cuma aku yang mungkin takut menerima kenyataannya nanti.

sayang, maafkan aku membuatkanmu terheret sama dalam rasa ini...
mak, ampunkan anakmu ini...yang terus-terusan mengecewakan hasratmu.
tuhan, upaya ini ada hadnya...dan aku khuatir, had itu sudah hampir ku lepasi.