surat untuk si gadis manis...
Wahai gadis manis,

Apa khabar mu di hari yang indah ini? Moga dirimu sentiasa dalam lindungan Allah jua. Aku, sihat sahaja di sini. Masih terus-terusan menghirup nikmat yang diberikan oleh-Nya, dan masih turut melangkah kaki menjalari bumi tuhan ini.

Aku tak tahu bagaimana harus aku ucapkan apa yang terbuku di dada ini, maka surat ini aku tulis untuk tatapan mu. Biapun mungkin kau takkan membacanya langsung, tapi aku percaya, rohmu dapat merasai bisikan naluri ini.

Gadis manis,

Tahukah kau, aku sering mencuri-curi melihat mu dari jauh? Aku senang sekali melihat kau tersenyum. Manja sekali. Dan bila kau tersenyum begitu, aku akan pasti tersenyum sendirian sambil berangan-angan, yang kau sedang melemparkan senyum itu pada aku. Dan senyuman itu akan menemani aku bila kau tidak dapat aku lihat. Betapa aku ingin menyentuh lembut ulas bibir itu. Namun, usah kau risau, kerana aku hanya berani menyentuhnya dengan jemariku.

Tahukah kau, aku sering tertunggu-tunggu tibanya hari baru setiap hari? Aku senang melihat kau mengenakan apa jua pakaian. Arghh! Apa saja yang kau pakai, sememangnya secocok dengan dirimu. Dan bila kau berjalan melalui lorong-lorong kecil di depanku, mataku kan pasti menuruti langkah lenggok mu. Ishh…nakalkan mata aku ini? Tapi, lama-lama aku akan jadi cemburu, terutama bila ada mata-mata nakal lain menyinggahi tubuh mu. Erghhh!!

Tahukah kau, hati aku berkecamuk bila kau tidak menegur aku seharian? Hati aku akan tertanya-tanya. Fikiran aku akan ligat mencari jawapan. Kenapa…? Kenapa…? Pernah dulu, kau marahkan aku, terguris dengan perkataan dan kelakuan aku, lalu kau tidak menegurku lagi. Arghhh!! Sakit sungguh rasanya bila diri tidak dipeduli. Bagai dibuang jauh ke suatu daerah yang bisu, kaku dan lesu. Aku tak sanggup berada di daerah itu.

Gadis manis,

Aku pernah melihat kau menitiskan airmata di depanku. Aku pernah mendengar esakan pilu kau menyuarakan kesedihan yang membungkus hatimu. Hmm…airmata itu begitu mengharukan. Betapa inginnya aku mengesatnya dengan jari ini. Betapa inginnya aku memelukmu untuk menenangkan sendumu. Dan betapa aku berharap dapat menemanimu untuk menghiburkan hatimu setiap detik yang kau lalui.

Aku pernah melihat kau tenang beradu di suatu malam yang damai dan dingin. Lenanya kau waktu itu bagaikan sedang melalui denai-denai yang indah di suatu tempat yang mengasyikkan. Malam yang berlalu tak aku hiraukan, kerana aku hanya ingin terus menatap wajah mu tanpa kau sedari. Betapa inginnya aku mengucup dahimu tika itu, agar kau tahu aku ada di sisimu menghangatkan dingin tubuhmu.

Gadis manis,

Aku hanya menjadi perindu sepimu di sini. Aku tidak berani untuk berdiri dan berjuang untuk memilikimu. Aku tahu di mana batas aku. Aku sedar di mana kakiku berdiri. Dan aku sedar siapa diri aku. Rasa yang terbit di hati ini, bukan sesuatu yang sengaja aku cipta. Ianya hidup hari demi hari bersama deru nafas ini. Namun, aku terpaksa akui, mustahil untuk kau menikmati dan menerimanya andai aku hulurkan jambangan kasih ini.

Aku akan terus bercerita tentang mu di sini. Di lembaran ini, di helaian coretan kasarku, dan di benak fikiranku. Selagi aku masih punya daya, masih punya kekuatan, masih punya nyawa, tetap ada ingatan ini padamu. Aku tak kisah andai kau tak pernah mengingatiku, kerana itu nasib yang perlu ditelan oleh perindu sepi seperti aku. Andai aku gembira, akan aku paparkan padamu. Tapi, andai aku gundah, akan aku tangisi jauh dalam hati ini.

Gadis manis,

Biarlah aku akhiri dahulu coretan untuk kali ini. Semakin aku menulis, semakin sarat rasa yang memenuhi hati ini, hingga aku jadi sesak. Aku akan kirimkan lagi surat untukmu selepas ini andai hati bersedia untuk berbicara lagi. Akhir kata, teruslah senyum pada sinar esok yang bakal kau lalui nanti…usah pandang pada semalam yang telah kau tinggalkan jauh di belakang. Ingatlah, ada perindu sepi yang akan setia mendoakan kebahagiaanmu untuk selamanya...

Salam rindu untukmu,
zaffey...
0 Responses