jalanilah hidup dengan tenang...

Ada orang kata, hidup aku yang sebegini bagaikan tiada arah, tiada tujuan, tiada akhirannya. Kononnya aku hidup bagaikan ulat dalam batu. Hidup kerana perlu meneruskan nafas yang masih dipinjamkan tuhan. Hidup kerana perlu mengisi masa yang dilalui sepanjang siang dan malam hari. Hidup kerana orang di sekeliling masih mengiktiraf diri ini sebagai ‘sesuatu yang bernyawa’.

Perghhh!! Dan aku hanya senyum pada pendapat orang itu. Yang tentunya aku tak ingin tahu samada dia ikhlas atau tidak sewaktu mengucapkan buah fikirannya itu.

Kenapa aku senyum dan bukannya marah pada dia? Dia cuma penambah koleksi pada seberkas pendapat ramai lagi, yang aku rasa, adalah sesuatu yang menyenangkan untuk difikirkan. Aku tak perlu marah pun. Sebab kata-katanya itu adalah dari kacamatanya. Dia berhak atas kacamatanya sendiri, dan kata-kata pendapatnya itu juga adalah hak dia. Hak aku cuma, menerima atau menolak dengan cara sebagaimana yang aku suka.

Hidup aku adalah antara aku dan Yang Haq sahaja. Selurus manakah arah aku, atau sebesar manakah tujuan aku, atau seindah manakah akhiran aku, biarlah ia menjadi rahsia antara aku dan Yang Haq.

Tiada niat untuk aku mempertahankan diri sehebat-hebatnya, kerana aku sedar, aku punya banyak compang-campingnya. Tapi apa yang aku buat setakat ini, aku sentiasa harapkan agar ianya mampu menutup sedikit apa yang lompang. Biarlah orang tak nampak pun, dan tak perlu juga aku khabarkan, kerana aku yakin, hidup aku adalah di bawah izin Yang Haq, maka biarlah Yang Haq sahaja mengetahui segalanya.

Baikkah aku, jahatkah aku, bukanlah dalam kocek sesiapa… dan tiada sesiapa yang bisa meletakkan sepenuh kata atas apa yang aku lalui hingga ke saat ini. Begitu juga dengan diri sesiapa pun, bukanlah dalam kocek aku, kerna aku tak punya kekuatan dan kesempatan untuk mengetahui segalanya.

Aku hanya aku, seorang manusia, sebagaimana kau, dia dan mereka. Namun tiada sesiapa pun di dunia ini yang punya kehidupan yang sama dalam erti kata sebenar… Kita serupa dalam rupa, tapi kita punya ‘peta hidup’ yang berbeza, namun menuju ke satu arah yang sama…

Adakala, jalan itu lurus lagi lebar, ada juga licin lagi berliku, ada pula berbatu lagi sempit, dan berbagai lagi jenis lorong atau denai yang terpaksa dilalui. Setiap satunya punya pengalaman yang dikutip. Setiap satunya punya usaha yang perlu dikorbankan. Apakah semua itu sama bagi setiap daripada kita?

…moga kita tergolong antara mereka yang berjaya melepasi liku-liku jalanan hidup biarpun di badan ini penuh luka dan darah yang sakitnya adakala tiada kata-kata yang bisa menghuraikannya...

*aku sekadar menginsafkan diri sendiri…*
0 Responses