kerana...




saya sungguh tidak suka bila ditinggalkan keseorangan di rumah. fikiran mula menerawang ke berbagai-bagai 'simpang'. kelakukan mula tidak seperti sediakala. mulut terkunci. badan terkaku.

agak bingung bila berada dalam situasi begitu. yang peliknya, dalam fikiran ada macam-macam idea, tapi, jasad seolah-olah tak mahu melaksanakan misi-misi yang difikirkan. bagaikan ada ketidakstabilan di situ...

saya selalunya akan menutup kesemua lampu di rumah sebelum masuk tidur. tapi, bila saya keseorangan, saya rela lampu putih menyinari ruang rumah. saya terasa ditinggalkan bila berada dalam kegelapan yang sebegitu!

ohh... semua ini kerana cik kekasih hati pulang beraya di kampung dan terpaksa meninggalkan saya sementara di sini! perghhh!! sakit jiwa ok... :p

sewaktu menghantar cik kekasih di balai berlepas KLIA, saya rasa senyum saya dibawa bersama-sama dirinya. biarpun serombongan pramugari MAS sedang meliuk-liuk lalu di hadapan saya selepas itu, saya kehilangan pesona untuk melekatkan pandangan gatal saya pada bayang-bayang mereka. tiada tarikan di situ.

tetapi, bila tibanya hari untuk saya menjemput cik kekasih di balai ketibaan, saya memandu sambil tersenyum, tersengih, biarpun di waktu itu saya sedang menempuh kesesakan lalulintas di kota tempat saya bekerja. saya tidak marahkan pengguna jalanraya yang memotong saya dan memasuki lorong tanpa memberi isyarat. sebaliknya, saya hanya berkata, "ok, ok, takpa".

dan segalanya kembali seperti biasa sekarang... :) semangat saya sudah terbit semula. tubuh saya telah seiring dengan rasa, fikiran dan jiwa...

cik kekasih tidak perlu buat sesuatu yang hebat. cukup sekadar ada di sisi saya. menikam jantung saya dengan pandangannya. mematikan bicara saya dengan tuturnya dan meledakkan tawa saya dengan keletahnya.

dan,
kerana memanggil saya, "sayang"...
saya nak tulis ni khas untuk awak... :)


awak,

alhamdulillah, kita masih bersama lagi sehingga ke saat saya menaip ayat ini. saya tak peduli orang nak kata kita baru ka, lama ka, yang penting, setiap hari adalah berbeza. setiap hari saya menambah pengalaman sendiri. setiap hari saya akan belajar sesuatu yang baru, samada tentang awak mahupun tentang saya. samada tentang sesuatu yang menggembirakan mahupun yang memilukan.

kita dua-dua pemalu. tapi sebenarnya kita dua-dua selamba dan buat hal sendiri je. kita dua-dua pemerhati. tapi sebenarnya kita dua-dua kaki bising dan becok. kita dua-dua tak suka jalan kaki jauh-jauh sangat, sebab sakit kaki, tapi sebenarnya kita amatlah suka jalan-jalan makan angin sambil memuji indahnya alam yang sedang dinikmati.

awak,

kadang-kadang saya rasa diri saya macam kanak-kanak yang amat nakal dan ngengada bila tiba masanya. kadang-kadang pula, saya rasa diri saya macam 'top chef' perasan yang suka tanya awak "sedap tak bau ni?" sewaktu buat awak terbersin berkali-kali bila masakkan sesuatu di dapur comel kita tu. tapi, sebenarnya, saya rasa diri saya amat bernilai, bagai loket emas yang awak sayangi tu, bila awak pandang saya dengan 'tikaman mata sakti awak tu, yang sering buat saya ter-offside-lane bila memandu.

awak,

kita lalui bersama saat indah, suka, duka, sempit dan cemas selama ini dengan sabar dan keyakinan penuh. saya harap, saya akan terus menjadi seorang kekasih yang selayaknya untuk awak. terima kasih, sudi memegang tangan saya hingga ke saat ini... terima kasih, kerana tidak jemu menjadi penguat semangat saya biarpun saya sedang kehilangan perkataan untuk memujuk diri sendiri.

moga kehidupan yang bahagia adalah hadiah yang terbaik untuk awak. dan semoga dalam hidup yang bahagia itu, saya bisa menjadi sebahagian daripadanya...


menyayangimu setulusnya,
zaf...