kayakan kasih-sayang...


Beberapa hari lalu, aku menemani my dearie lya ke HKL. Macam biasa, pemandangan di tempat-tempat sebegitu pasti akan ada yang terkesan di jiwa. Tak banyak mungkin, tapi sekurang-kurangnya adalah secebis-dua. Dan semua sedia maklum, berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan tentunya akan memakan masa yang lama hingga ke satu tahap, sampai ada yang mula mempertikaikan kelambatan dan kelompatan nombor angka giliran yang dipanggil.

Minit-minit pertama sewaktu menanti nombor giliran dipanggil bolehlah dihabiskan dengan perbualan ringan bersama pasangan. Tapi, bila borak-borak ringan pun dah habis, sambung pulak dengan lawak-lawak bodoh lagi selamba. Lepas tu... diam... masing-masing termenung... layan perasan... ahakss.

Dalam pada aku termenung tu, tiba-tiba mata aku tertangkap pada seorang ibu tua bersama anak kecilnya. Mungkin anaknya atau mungkin juga cucunya. Anak kecil itu agak keletah, comel, cergas dan sentiasa ketawa. Tak lekang daripada orang tua tu. Sekali-sekala dia meribakan kepalanya di paha orang tua tu. Mungkin minta dimanja. Mungkin juga penat menunggu dan ingin cepat pulang.

Aku lihat orang tua tu tersenyum dan tak sedikit pun berasa bosan melayan anak kecil itu bercerita. Akhirnya dia berdiri, kelihatan ingin beredar dari situ. Mungkin nombornya sudah dipanggil. Bila dia melintasi aku, sedikit terperanjat aku melihat keadaan fizikalnya.

Tangan kirinya agak bengkok. Mungkin pernah kene strok kerana nampak lembik dan kaku. Lututnya pula bagai tak dapat diluruskan sewaktu berjalan. Dan langkahnya juga kecil-kecil dan teragak-agak. Namun, dalam kepayahan itu, dia masih menuntun anak comel tadi. Masih tersenyum melayannya. Masih mampu melindungi dan mengawasi keselamatannya. Ahh... aku senyum dalam sebak melihat kekuatan yang ada dalam dirinya.

Anak kecil itukah sumber tenaga ajaib pada dirinya, yang telah pun menghapus derita kesakitan yang ditanggung? Mungkin... atau mungkin doa anak kecil itu dimakbulkan tuhan bagi terus memberinya kesempatan untuk merasai kasih-sayang daripada insan bergelar ibu atau nenek.

Mata aku kembali membuang pandangan, melihat manusia yang semakin resah gelisah menanti giliran. Ada yang dah berubah-ubah posisi duduknya. Ada juga yang berdiri, leka membaca poster-poster kesihatan yang ditampal. Macam-macam gelagat ada.

Sekali lagi, mata aku terlekat pula pada aksi seorang ayah dengan anak lelakinya yang telah dewasa. Kelihatannya, ayah tua itu mungkin telah pun berumur sekitar 80 tahun. Badannya kurus, agak melengkung sedikit, dan langkahnya juga kecil dan penuh berhati-hati. Ayah itu juga sudah kurang mampu untuk menahan air liurnya daripada meleleh di tepi bibirnya sendiri. Ada tuala good-morning tersangkut di lehernya, mungkin untuk tujuan mengelap lelehan liurnya sendiri.

Sungguhpun ayah tua itu dalam keadaan begitu, tapi anak lelakinya masih tersenyum dan memegang erat tapak tangan ayahnya. Sekali-sekala, dia menundukkan badannya yang tinggi itu untuk mendengar bisikan ayah tua itu. Tiada sedikitpun rasa malu, bosan ataupun menyampah, yang tergaris di wajah bersihnya. Kesabarannya jelas tergambar ketika membawa ayah tua itu berjalan di celah-celah orang ramai yang sedang menunggu.

Tentunya ada kekuatan tersendiri yang menjadikan diri anak lelaki itu tetap setia di sisi ayahnya yang uzur itu. Dan kekuatan itu tentulah lahir daripada hati yang ikhlas lagi tulus. Mungkin juga, ayah itu sering berdoa pada tuhan, memohon agar dikurniakan seorang anak yang soleh serta dihiasi dengan hati yang sarat dengan kasih-sayang.

Dalam kelekaan aku berfalsafah sendirian, akhirnya nombor giliran lya dipanggil... 101... hanya senyuman kelegaan yang terpancar di wajah masing-masing... petanda siksaan menunggu telah berakhir.

Walaupun agak tersiksa menunggu, tapi drama ringkas tadi sudah cukup menghiburkan lagi menginsafkan aku... betapa kasih-sayang itu sesuatu yang sukar digambarkan nikmatnya hinggakan kesakitan yang dideritai kadangkala tidak terasa langsung menggigit tubuh badan.

Yang tua dihormati, yang muda disayangi... moga kita akan terus menjadi insan yang kaya dengan kasih-sayang, lagi indah hati budinya...
cerita sikit...
Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua…

Mungkin ada yang tertanya-tanya ke mana gerangan aku selama ni. Menyepi diri di ruangan perkisahan ini tanpa ada sebarang cerita menghiasinya. Hmm...rasanya kurang sesuai untuk gunakan perkataan “menyepi diri” tu sebab aku bukannya “hilang” terus dari kawan-kawan, cuma aku bagai kekeringan ilham untuk meluah rasa di sini.

Arghh…dah la…usah diungkit-ungkit lagi kenapa aku lama tak menulis. Nak buat macam mana kan, kalau dah ilham merajuk diri tak mahu terbit dalam kepala. Cubalah paksa dengan apa cara sekalipun, kalau dah tak mau keluar tu, memang tak keluar le jawabnya.

Oklah, meh cerita pasal mende lain... :)

Bagai terpanggil-panggil rasanya hati untuk menulis rasa tentang isu hangat sekarang ni...pasal budak perempuan yang berumur bawah 12 tahun yang hilang, yang disyaki diculik, yang berkemungkinan dibunuh. Kenapa ya, ada yang sanggup? Sanggup hingga melampaui sifat-sifat manusia? Tapi, binatang sanggup ke buat macam tu jugak?

Apakah segala-galanya berpunca daripada gagalnya seseorang tu untuk menahan gelora nafsunya sendiri? Aku cuba mentafsirkan sendiri apa yang orang-orang macam tu rasakan. Mungkin tafsiran aku ini salah, mungkin ada antaranya benar-benar berlaku juga. Apapun, hanya Allah jualah yang Maha Mengetahui.

Aku cuba gambarkan senarionya begini...

Memula, mungkin si jahat baru lepas menonton video lucah terlampau lagi ganas. Mungkin juga tengah lalok dan sedang asyik dengan fantasi seksnya hingga menimbulkan rasa keinginan yang meluap-luap.

Lepak-lepak tepi jalan atau kedai, jalan-jalan kat pasar malam sambil perhatikan mangsa mana-mana yang berkenan di mata atau mungkin, mensasarkan pada mangsa yang paling mudah. Mudah didekati, mudah dipengaruhi.

Mangsa mungkin diajak secara rela dengan kata-kata manis atau pertolongan ataupun mungkin telah dipaksa dengan cara kekerasan untuk mengikut si jahat. Dan akhirnya dibawa ke suatu tempat untuk disembunyikan.

Di tempat persembunyian pulak, tentunya si jahat telah sedia ada dalam kepala otaknya rancangan syaitan yang ingin dilaksanakan. Di tahap ini, tak mampu lagi aku nak gambarkan apa-apa. Ih.. ish...

Yang aku tak paham, mengapa si jahat ambil tindakan untuk membungkus mangsanya dalam beg pakaian, dan kemudian diletakkan di suatu tempat awam. Mengapa tidak ditanam, dihanyutkan atau mungkin dibakar?

Apakah dia ada rancangannya tersendiri? Atau dia sebenarnya pada waktu itu terdesak kerana kesuntukan masa?

Hmm...itu semua sekadar teori yang dapat aku fikirkan dalam jangkamasa yang singkat ini. Tentunya ada teori-teori lain yang lebih logik berdasarkan kepada bukti dan kronologi kejadian. Aku ni sapalah... :P

Sekadar aku melemparkan apa yang ada dalam otak ni.

Moga Allah kurniakan kebijaksanaan kepada pegawai-pegawai yang menyiasat kes-kes seperti ini agar si jahat tak terlepas daripada perbuatannya.

Dan moga Allah kurniakan jua kesabaran, ketabahan dan ketenangan di hati para ibubapa serta keluarga mangsa yang telah dianiaya.

Sesungguhnya anak itu tempatnya tentunya di syurga Allah yang damai...

Al-Fatihah untuk anak-anak comel ini... (amin)
How's tioman...?

Great!
Seronokkk!!

Bila tengok balik gambar-gambar dan video yang dirakam, sakit perut gelak ramai-ramai. Ahaksss... happening betul! Sesungguhnya kesyukuran tak terhingga harus dipanjatkan kepadaNya atas kurniaan nikmat keindahan, kegembiraan dan ketenangan yang diperolehi ini… alhamdulillah…

Cuti-cuti mesia aku kali ni, memilih pulau tioman sebagai tempat untuk dijelajahi. Maka berangkatlah seramai 6 orang dara pujaan bersama kenderaan masing-masing yang gagah lagi perkasa lagi berkilat menuju ke jeti mersing di malam yang hening dan pagi yang dingin.... ehekss. Err… jalan yang dilalui cukuplah menyentuh sanubari… atas sebab, err… ada terpengaruh sikit-sikit dengan cerita ‘jangan pandang belakang’… hehehehhe…

Aktiviti wajib di tioman, seharusnyalah snokeling bagai... hehehhe... dan adalah antara kami ni yang first-timer nak rasa bagaimana ‘seronoknya’ ber-snokel ni. Ada yang takut nak turun/ naik dari bot, ada yang takut dengan ikan yang warna-warni tu, ada yang lupa daratan bila dah ‘masuk’ dalam air, ada yang takut tenggelam biarpun dah pakai life-jacket… ih.. ih.. pokoknya, macam-macamlah ragam! Ahaksss… yang menyebabkan senyuman kambing boleh terukir di bibir… :)

Di tioman,
Mentari yang terbit dan tenggelam
Muncul dan hilang
Di balik air yang hijau kebiruan
Dan awan yang kelabu kebiruan
Ada garis bahagia sedang muncul
Dan garis duka yang sedang hilang

Setiap wajah,
Ada ceritanya
Ada ragamnya
Ada rahsianya
Bagaikan pulau yang kaya
Lagi misteri menyimpan khazanah

Biarpun panas terkadang membakar hangus
Tapi ada dingin hujan bisa mengubati
Biarpun olengan terkadang meloya tekak
Tapi ada indah hidupan bisa melupai

Tinggalkan jejak pada mutiara putih
Biarpun esoknya mungkin dihapus ombak
Kerna mungkin lusa nanti
Bisa dijejaki jejak yang sama
Bisa dirasai rasa yang sama...

Dan tioman ditinggalkan sementara... :)