kayakan kasih-sayang...


Beberapa hari lalu, aku menemani my dearie lya ke HKL. Macam biasa, pemandangan di tempat-tempat sebegitu pasti akan ada yang terkesan di jiwa. Tak banyak mungkin, tapi sekurang-kurangnya adalah secebis-dua. Dan semua sedia maklum, berada di hospital untuk pemeriksaan kesihatan tentunya akan memakan masa yang lama hingga ke satu tahap, sampai ada yang mula mempertikaikan kelambatan dan kelompatan nombor angka giliran yang dipanggil.

Minit-minit pertama sewaktu menanti nombor giliran dipanggil bolehlah dihabiskan dengan perbualan ringan bersama pasangan. Tapi, bila borak-borak ringan pun dah habis, sambung pulak dengan lawak-lawak bodoh lagi selamba. Lepas tu... diam... masing-masing termenung... layan perasan... ahakss.

Dalam pada aku termenung tu, tiba-tiba mata aku tertangkap pada seorang ibu tua bersama anak kecilnya. Mungkin anaknya atau mungkin juga cucunya. Anak kecil itu agak keletah, comel, cergas dan sentiasa ketawa. Tak lekang daripada orang tua tu. Sekali-sekala dia meribakan kepalanya di paha orang tua tu. Mungkin minta dimanja. Mungkin juga penat menunggu dan ingin cepat pulang.

Aku lihat orang tua tu tersenyum dan tak sedikit pun berasa bosan melayan anak kecil itu bercerita. Akhirnya dia berdiri, kelihatan ingin beredar dari situ. Mungkin nombornya sudah dipanggil. Bila dia melintasi aku, sedikit terperanjat aku melihat keadaan fizikalnya.

Tangan kirinya agak bengkok. Mungkin pernah kene strok kerana nampak lembik dan kaku. Lututnya pula bagai tak dapat diluruskan sewaktu berjalan. Dan langkahnya juga kecil-kecil dan teragak-agak. Namun, dalam kepayahan itu, dia masih menuntun anak comel tadi. Masih tersenyum melayannya. Masih mampu melindungi dan mengawasi keselamatannya. Ahh... aku senyum dalam sebak melihat kekuatan yang ada dalam dirinya.

Anak kecil itukah sumber tenaga ajaib pada dirinya, yang telah pun menghapus derita kesakitan yang ditanggung? Mungkin... atau mungkin doa anak kecil itu dimakbulkan tuhan bagi terus memberinya kesempatan untuk merasai kasih-sayang daripada insan bergelar ibu atau nenek.

Mata aku kembali membuang pandangan, melihat manusia yang semakin resah gelisah menanti giliran. Ada yang dah berubah-ubah posisi duduknya. Ada juga yang berdiri, leka membaca poster-poster kesihatan yang ditampal. Macam-macam gelagat ada.

Sekali lagi, mata aku terlekat pula pada aksi seorang ayah dengan anak lelakinya yang telah dewasa. Kelihatannya, ayah tua itu mungkin telah pun berumur sekitar 80 tahun. Badannya kurus, agak melengkung sedikit, dan langkahnya juga kecil dan penuh berhati-hati. Ayah itu juga sudah kurang mampu untuk menahan air liurnya daripada meleleh di tepi bibirnya sendiri. Ada tuala good-morning tersangkut di lehernya, mungkin untuk tujuan mengelap lelehan liurnya sendiri.

Sungguhpun ayah tua itu dalam keadaan begitu, tapi anak lelakinya masih tersenyum dan memegang erat tapak tangan ayahnya. Sekali-sekala, dia menundukkan badannya yang tinggi itu untuk mendengar bisikan ayah tua itu. Tiada sedikitpun rasa malu, bosan ataupun menyampah, yang tergaris di wajah bersihnya. Kesabarannya jelas tergambar ketika membawa ayah tua itu berjalan di celah-celah orang ramai yang sedang menunggu.

Tentunya ada kekuatan tersendiri yang menjadikan diri anak lelaki itu tetap setia di sisi ayahnya yang uzur itu. Dan kekuatan itu tentulah lahir daripada hati yang ikhlas lagi tulus. Mungkin juga, ayah itu sering berdoa pada tuhan, memohon agar dikurniakan seorang anak yang soleh serta dihiasi dengan hati yang sarat dengan kasih-sayang.

Dalam kelekaan aku berfalsafah sendirian, akhirnya nombor giliran lya dipanggil... 101... hanya senyuman kelegaan yang terpancar di wajah masing-masing... petanda siksaan menunggu telah berakhir.

Walaupun agak tersiksa menunggu, tapi drama ringkas tadi sudah cukup menghiburkan lagi menginsafkan aku... betapa kasih-sayang itu sesuatu yang sukar digambarkan nikmatnya hinggakan kesakitan yang dideritai kadangkala tidak terasa langsung menggigit tubuh badan.

Yang tua dihormati, yang muda disayangi... moga kita akan terus menjadi insan yang kaya dengan kasih-sayang, lagi indah hati budinya...
1 Response
  1. Anonymous Says:

    thankz syg sbb temankn ya ke HKL...
    thankz sbb selalu ada dcc ya....
    thankz atas pemberian kasih sayang n perhatian drmu syg...

    alwayz Luv u syg...