airmata syawal...



yer, bila tibanya syawal, tibalah juga musim tengkujuh aku. katalah aku apa saja. lembik, cengeng atau pelakon airmata. sememangnya aku akan teramat sensitif. sifat yang nampaknya agak susah untuk aku kurangkan biarpun usia semakin meningkat dan pengalaman semakin mendewasakan.

bermula daripada mengucup tangan kedut ibu dan memeluk tubuh tuanya di pagi syawal, telah membuka 'pintu empangan' airmata aku. seterusnya 'membawa bekal' untuk ayah yang tempat diamnya nun jauh di alam yang berbeza, memberatkan lagi kesayuan yang sedia ada menebal di hati. dan hiba aku makin bertambah bila melihat ibu masih mengalirkan airmata yang sama seperti di awal pemergian ayah dahulu. kasih ibu masih terpancar. sayang ibu masih tersirna. dan biarpun masih terasa embunan 1 syawal, ada kehangatan doa dari seorang kekasih buat kekasih yang dirinduinya sedang bergema...

dan tentunya banyaklah drama, filem, telefilem, dokumentari atau rencana khas yang bersangkutan dengan 'semangat' syawal. bukalah siaran mana saja, samada yang percuma mahupun yang berbayar, pasti ada. yang boleh buat aku ketawa besar, aku akan ketawa. tapi, kalau yang buat aku cengeng kembali, habislahh... :p dan yang paling akan men-spoil-kan lagi keadaan, kalau aku 'tertonton' siaran kisah anak-anak kecil yang kekurangan kasih sayang keluarga dan hidup serba kekurangan... ohh, sangatlah akan menyebabkan aku kelihatan amat 'naif'! hahahaha (sadis!)

apapun, syawal adalah bulan yang sungguh menginsafkan buat aku. memberi peluang kepada aku untuk merenung kembali kepada kehidupan lalu, sekarang dan yang bakal aku tempuh. memang bukan sedikit airmata yang 'terkorban', tapi bagai suatu kepuasan untuk melepaskan sesuatu yang terpendam...

kadang-kadang kita perlukan suatu alasan lain semata-mata ingin melepaskan sesuatu yang tersimpan di hati... dan aku perlukan airmata untuk melakukan tugasan itu. mungkin aku kelihatan menangis kerana seorang budak lelaki di sebuah yayasan anak yatim yang sedang menceritakan kerinduannya untuk beraya bersama ibu di kampung, tapi realitinya, aku sedang melepaskan suatu rasa yang sedang terbuku di hati...

sekali lagi, aku bersyukur, masih lagi berpeluang menyambut syawal bersama keluarga, kekasih, sahabat, dan kalian yang membaca perkisahan aku ini... moga kita dilanjutkan usia untuk bersama lagi di syawal akan datang...

salam dihulur, maaf dipinta... :)
2 Responses
  1. Anonymous Says:

    Salam Aidilfitri Zaf.. Semoga berbahagia selalu bersama yg tersayang.. :)


  2. zaffey Says:

    terima kasih cik zara... ;)