pernah rasa...?




pernah rasa ingin mati?

rasa ini hanya wujud bila sesuatu yang kita tanggung, tidak lagi terdaya untuk memikulnya. ingin sahaja diakhiri beban yang digalas. bukan tiada usaha yang diambil untuk meringankannya, tapi setiap kali itu juga, bagaikan bebanan yang sediada seakan-akan makin bertambah dan menyiksakan. bagaikan berputus harap. bagaikan tak jumpa lagi jalan untuk keluar daripada lorong sempit lagi gelap. kala itu juga, fikiran tidak lagi mendapat tempat dalam diri, kerana hati telah mula menguasai kewarasan diri...


pernah rasa ingin marah dan mengamuk sehebat-hebatnya?

rasa ini berakar daripada rasa tidak puas hati yang telah disimpan sekian lama. daripada rasa dendam, merajuk, berkecil hati yang pada mulanya hanya kecil dan sedikit. tapi, kalau dah disimpan semakin lama semakin membusung di dalam dada. dan akhirnya, menanti waktu untuk meletus bagaikan lahar gunung berapi yang panas lagi memusnahkan segala yang ada. kalau dah wujud rasa ini, diri sendiri sudah tak memikirkan lagi siapa insan yang sepatutnya diamukkan dan siapa insan yang tidak sepatutnya. sesiapa sahaja bakal menjadi mangsa amukan jiwa yang sedang membara. tapi, kalau difikirkan selepas letusan lahar tersebut apa hasil yang diperolehi? ... hanya kemusnahan... dan yang sedihnya, bila yang tidak berdosa terbabit sama dalam kemusnahan yang asalnya bukan ditujukan padanya...


pernah rasa ingin menangis semahu-mahunya?

bagaikan tiada benteng yang bisa menahan empangan airmata yang telah pecah. menangislah semahunya untuk meredakan rasa sebak, pilu, kecewa, yang peringkatnya telah mencapai peringkat tak tertanggung dek hati. tak peduli lagi pada sekeliling yang melihat, kerana dalam dirinya cuma ada satu pengertian... iaitu sedih ini teramat sakit. airmata yang mengalir, membasuh bersama senyuman yang sebelum ini terukir indah. dan mengalirlah ia hingga jauh membasuh hati yang dalam terluka... selepas menangis...? akan legakah luka yang tersayat? bagai air yang menyusur sungai, bisa merubah liku benteng yang sebelum ini cantik terbentuk. namun, sungai bisa jadi lebih lebar atau mungkin juga bisa jadi lebih sempit...


pernah rasa ingin senyum semanis-manisnya?

bahagia yang sedang dialami bagaikan tidak tergambarkan oleh sebarang lukisan, tidak tersusunkan oleh sebarang puisi dan tidak terlagukan oleh sebarang nyanyian. senyuman yang tercetus daripada hati yang sedang diulit oleh warna-warna pelangi yang mempesonakan dan sedang berada dalam himpunan wangian yang mengharumkan. senyuman yang terukir, terpamer pada sekelian yang ada di mayapada, seakan ingin mengkhabarkan pada semua, yang musim kebahagiaannya berpanjangan tanpa pengakhiran. senyumlah dengan penuh keikhlasan, kerana senyuman yang berisi kejujuran bisa membantu menjadi mentari bagi jiwa yang sedang mendung lagi kedinginan.


pernah rasa ingin memeluk seseorang seerat-eratnya?

bagaikan anak manja yang ingin mengadu pada ibunya... dan begitulah rasa yang terbit bila diri menginginkan seseorang memeluk erat dirinya dan berkongsi hangat kasih yang ditagihkan. mungkin juga ada rasa tidak mahu melepaskan pergi jiwa itu. mungkin juga ada rasa tidak akan bersua lagi selepas itu. berbagai maksud tersimpan dalam sebuah pelukan yang hangat. bagaikan dua hati sedang berbisik dekat antara satu sama lain. hati yang satu sedang hebat mengadu, dan hati yang satu lagi sedang setia mendengar. bahasanya? hanya difahami oleh hati juga. ianya tidak bisa ditulis, dan tidak bisa juga untuk didengarkan...


pernah rasa kesemuanya dalam keadaan bertimpa-timpa?
andai pernah, tahniah... kerana dirimu masih seorang manusia yang punya hati... :)

*******************************************

aku lahir
tanpa ada apa-apa untuk dipertaruhkan
tanpa ada apa-apa untuk dimegahkan
aku tak punya rupa yang cantik
aku tak punya suara yang merdu
aku tak punya badan yang tegap
tapi,
aku ada akal yang waras
dan,
aku ada hati yang berperasaan...
itu sudah memadai bukan...?

*******************************************

selamat ulangtahun kelahiran untukmu, angel...

takkan pernah terlupa dalam kesibukan aku mengharungi hidup, akan tarikh ulangtahun mu ini. sudah menjangkau lebih 10 tahun kita mengenali diri masing-masing, bukan? selama itu, tentunya peristiwa suka lagi duka telah sama-sama kita tempuhi dalam berbagai keadaan yang mendatang.

terima kasih,
memahami aku yang terkadang sukar untuk dimengertikan.
meminjamkan aku api semangat di kala aku mula kehilangan cahaya.
menyimpan rasa yakin sewaktu yang lain mula goyah pada aku.
mengingatkan aku di kala aku mula leka bermain lumpur.
dan,
membenarkan aku untuk terus memanggil mu, "my angel..."

5 Responses
  1. Anonymous Says:

    Saya pernah merasai segala-galanya malah lebih dari cebisan kata-kata ini. Adakah saya masih seorang manusia? Ya, pasti. Kerana itu takdir dan hakikat diri. Adakah ingin saya larikan diri jauh dari semuanya? Ya, ada ketikanya. Namun kekuatan seseorang bukan terletak pada kudratnya tetapi pada sabar di jiwanya. Jika ada ujian dalam hidup percayalah ujian itu adalah kasih sayang Allah dan jauh dari hidupmu masih ramai yang derita hidupnya tak tertanggung namun masih juga terus bangun. Siapa tahu... manusia itu aku? :)


  2. zaffey Says:

    anonymous:
    yer... saya akuinya juga. kesabaranlah yang membuatkan kita terus menerima taqdir dengan redha. mungkin hari ini, tiada jalan penyelesaian yang terbentang di depan, tapi mana tahu, esok-lusa bakal ada cahaya yang menuntun kita keluar dari kegelapan. terkadang kita keluar mencari jalan itu berseorangan, tapi adakalanya juga kita bakal ditemani seseorang yang memegang tangan kita dengan seeratnya.

    pada dirimu, saya doakan moga kesabaran dalam dadamu terus menebal tanpa ada surutnya... :)

    terima kasih atas komen yang begitu menyentuh hati saya di pagi ini...


  3. Anonymous Says:

    bukankah sudah jelas jalan yg kamu pilih ini menuju ke kegelapan? fitrah manusia selalu akan berkata, aku hanya manusia biasa bila melakukan kesalahan. mengapa?


  4. zaffey Says:

    anonymous:
    walau seribu perkataan pun saya karangkan di sini, saya tetap akui bahawa saya berada di atas batu yang melawan arus... dan tentu ramai yang tetap menghukum saya sebagai antara si manusia yang berkata, "aku hanya manusia biasa" bila melakukan kesalahan.

    selagi saya punya akal, selagi saya mampu menahan nafsu, saya akan sekuatnya berpegang pada segenggam tali yang telah lama saya yakini.. agar saya tak mati kelemasan di dalam arus yang saya rentangi.

    :)


  5. Anonymous Says:

    saya anonymous yang pertama:
    pegang kata-kata saya... sentiasa bersangka baik terhadap siapa pun insan yang kita temui. Bagi saya, jika seseorang itu ada 10 keburukan dan hanya 1 kebaikan... maka ambillah 1 kebaikan dia sematkan dalam hati. Renungkan kebaikan yg ada dlm diri seseorang tu. Satu kebaikan jika kita amati boleh menyucikan 10 keburukan bila tiba masanya. Kita tak tahu hari hadapan, org yg hari ini bg kita byk berbuat dosa satu hari adalah insan yg bakal membimbing kita ke arah kebaikan. Orang yg kita fikirkan menyimpang hidupnya satu masa adalah orang yg memimpin semula tangan kita ke jalan lurus. Siapa tahu jika matinya mereka, mereka ini lebih mulia berbanding kita? Allah Maha Kuasa atas segalanya. Jika hari ini kita beranggapan buruk terhadap orang lain adakah kita akan kekal baik utk 10 thn lagi? :) Bg saya jika kita ingin mengubah kehidupan orang lain ke arah kebaikan... dekatilah mereka dan tunjuklah contoh yg terbaik bukan dgn jalan menolak atau menyisihkan :)