kata-kata...
kata orang, dari mata turun ke hati... dan dari hati terus cinta kan bersemi...

aku pernah menyukai seseorang bukan atas nama rupa. aku pernah merindukan seseorang juga bukan atas dasar sentuhan yang pernah ku terima. aku tak tahu mengapa sehebat itu aku boleh menyayanginya. aku tak sedar mengapa seluas itu aku bukakan hati ku untuknya.

dia mengajar aku meluahkan kata sayang...
dia mengajar aku menyemaikan erti rindu...
dia mengajar aku melukiskan warna impian...
dan dia mengajar aku menjadi pecinta setia.

************************************************************

kata orang, dari sinar mata terpancar segala rahsia terkandung...

aku pernah menyukai seseorang kerana sinar matanya yang indah dan sarat dengan kasih sayang. tak terlintas sebenarnya untuk cuba memuja pemiliknya kerana aku tahu, dia bakal bertakhta di singgahsana yang lebih putih dan suci. tapi, itulah kuasa kasih-sayang... bisa menenggelamkan tingkah bicara si akal yang berlawanan dengan si hati. padanya, aku lagukan kesepian yang menyuramkan hidupku. padanya, aku adukan kerinduan yang tak berpenghujung, dan padanya juga, aku nikmati sentuhan hangat yang membahagiakan.

************************************************************

kata orang, jangan menilai isi si manggis. buruk di luar, burukkah jua di dalamnya?

aku biasa menerima kejian. aku biasa menerima tohmahan. dan aku biasa juga menelan nista. ya, aku bukan kain yang putih lagi. ya, aku bukan lantai yang berkilat lagi. tapi, aku masih menjunjung pencipta aku. aku masih sedar kehambaan aku. bisikan aku dan Dia bersulam airmata. rayuan aku dan Dia bernada sendu. aku sendiri tak ingin hanyut. aku sendiri tak mahu terputus dari tali-Nya. aku sedar, ada kehidupan abadi yang menanti...

mengapa perlu terus-terusan menghukum, sedangkan yang layak menghukum hanyalah Pencipta aku? mengapa tidak menuntun tanganku menyusuri jalan yang putih, dan bukannya menolak aku ke jurang bertebing curam? mengapa mesti menyemai benci yang sarat dengan dendam, dan bukannya menebar kasih sayang yang bisa melunturkan hitam di hati?

ahhh... mungkin sebab daki aku terlalu kotor. mungkin jua tiada langsung haruman yang terbit dari aku. aku hanya bakal memalitkan lebih banyak hitam di jiwa-jiwa yang mulus, maka itu aku perlu disingkirkan. dan sebab itu juga aku perlu dijauhkan. benarkah begitu?

************************************************************

pada insan yang aku sayangi...
terciptanya dirimu sememangnya suatu sejarah hebat dalam hidupku. aku hanya punya kenangan yang bisa direnung dalam sunyi malam yang sentiasa bertamu. aku hanya punya rakaman suara indah yang bisa dilagukan dalam sepi angin yang berhembus. aku tetap akan seorang, tetap akan sendiri... menjadi perindu, pecinta, biarpun mungkin bukan yang terhebat, tapi cukuplah sekadar kau tahu, mentari hidupku ada pada senyum terindah mu...

sayang, terima kasih...
kerana menjadikan aku "hidup"...
kerana menjadikan aku "manusia"... yang punya hati...
1 Response
  1. Anonymous Says:

    sedih jer post ni.. ntah kenapa cam touched me there.

    i feel u dude!